X

Kindly register in order to view this article
!

Rakyat Terengganu bantu Pas kumpul dana guaman

Orang ramai menghulurkan sumbangan di Masjid Rusila.
A
A

MARANG - Pengurusan Masjid Rusila tidak ketinggalan mengumpul sumbangan orang ramai bagi membantu Pas mengisi Tabung Sumbangan Dana Guaman Saman Sarawak Report, di sini, hari ini.

Sumbangan dikutip sebelum dan selepas berakhirnya Kuliah Dhuha di masjid tersebut disampaikan oleh ahli jawatankuasa Dewan Ulamak Pas Terengganu, Dr Mohammad Hamdan Mohd.

Difahamkan jumlah kutipan mencecah lebih RM3,000.

Salah seorang penderma, Alias Ahmad, 50, dari Manir berkata, dia jarang terlepas mengikuti kuliah dhuha di masjid itu khususnya disampaikan sendiri oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Sumbangan ini adalah sebagai satu cabang perjuangan bagi membantu parti Pas untuk menampung kos guaman tersebut" katanya ketika ditemui Sinar Harian di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Pada April 2017, Abdul Hadi memfailkan saman terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown berhubung tulisan pada Ogos 2016 mendakwa pimpinan parti itu menerima dana RM90 juta.

Wang itu didakwa diterima daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai dorongan bekerjasama dengan Umno dan BN menjelang PRU14.

Mahkamah Tinggi London awal tahun lalu mengetepikan pernyataan pembelaan Rewcastle-Brown dan memerintahkan editor Sarawak Report itu membayar hampir £29,000 (lebih kurang RM156,000) kepada Abdul Hadi yang menang semua lima permohonan interlokutori terhadapnya.

Saman Abdul Hadi terhadap Sarawak Reports itu ditetapkan untuk perbicaraan April ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus