Bayi 'ajaib' membesar dengan sihat

Sultan Muhammad V (tengah) yang mencemar duli menziarahi Fairol Haziri sekeluarga hari ini. - Foto: Istana
Sultan Muhammad V (tengah) yang mencemar duli menziarahi Fairol Haziri sekeluarga hari ini. - Foto: Istana
A
A
A

KOTA BHARU - Bayi perempuan yang disifatkan sebagai 'ajaib' apabila dilahirkan melalui pembedahan ketika ibunya sedang koma kini membesar dengan sihat.

Farah Hanis yang kini sudah berusia lima bulan adalah anak pasangan Fairol Haziri Rahim, 44, dan Kamareeah Arwae, 36.

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr Ahmad Amir Ismail berkata, bayi berkenaan membesar dengan sihat walaupun dilahirkan secara pembedahan ketika Kamareeah koma.

Menurutnya, keadaan itu ajaib kerana kebiasaan kes seumpama ini ibu akan mengalami keguguran atau pertumbuhan bayi terencat selain terdapat masalah kesihatan lain.

Farah Hanis yang kini sudah berusia lima bulan.
Farah Hanis yang kini sudah berusia lima bulan.

“Kamareeah yang ketika itu hamil tiga bulan koma akibat ketumbuhan di kepala dan pernah mengalami jangkitan kuman serta menerima rawatan di hospital selama tiga minggu namun tidak menjejaskan kandungannya.

“Keluarga menjaganya dengan baik dengan memberi susu melalui tiub sehingga selamat dilahirkan pada usia lapan bulan setengah dan lebih 'ajaibnya'bayi berkenaan sihat sehingga kini,” katanya yang menjalankan pembedahan itu Julai lalu.

Beliau ditemui di kediaman Kamareeah di Taman SL Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mencemar duli menziarahi Kamareeah dan keluarganya di sini hari ini.

Turut hadir Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang, Dr Izani Husin.

Dr Ahmad Amir berkata, beliau tolak kemungkinan kes itu adalah kelahiran pertama di negara ini dan jarang berlaku di dunia ini sekalipun selain menjadi rekod sejarah pertama kepada HUSM.

Farah Hanis berada di samping ibunya.
Farah Hanis berada di samping ibunya.

Sementara itu, Fairol Haziri berkata, dia tidak bekerja kerana menjaga isteri yang koma dan mereka menerima bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta orang ramai untuk menyara keluarga.

“Setiap sebulan, saya memerlukan kira-kira RM1,500 untuk keperluan isteri termasuk susu, lampin pakai buang dan rawatannya serta dua anak yang masih kecil, yang sulung berusia dua tahun.

“Hari ini saya terharu dengan keprihatinan baginda Sultan Kelantan yang sanggup meluangkan masa menziarahi kami dan menyampaikan sumbangan peribadi,” katanya.