Gerakan kesal dituduh terima RM1 juta

Naib Presiden Gerakan, Janice Wong Oi Foon menunjukkan poster diedar melalui laman sosial menunjukkan Wendy menjadi boneka kepada PH.
Naib Presiden Gerakan, Janice Wong Oi Foon menunjukkan poster diedar melalui laman sosial menunjukkan Wendy menjadi boneka kepada PH.
A
A
A

PONTIAN - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyifatkan dakwaan bahawa parti itu menerima dana sebanyak RM1 juta daripada Pakatan Harapan (PH) sebagai habuan kerana mengurangkan undi calon Barisan Nasional (BN) sebagai tidak berasas.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau berkata, pihaknya kesal dengan tuduhan tersebut dan menganggapnya satu strategi politik kotor untuk menjejaskan imej calon parti itu, Wendy Subramaniam yang turut bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 November ini.

"Semasa calon kami berkempen, ramai orang mengatakan Gerakan terima dana RM1 juta daripada PH untuk mengurangkan undi BN.

"Jika betul Gerakan terima dana sedemikian, pastinya kami boleh mengeluarkan lebih banyak bahan kempen seperti sepanduk, edaran risalah dan sebagai ke merata-rata tempat.

"Jika hendak menang sekalipun, semua pihak kena guna cara adil dan saksama sewaktu bertanding. Jangan guna politik kotor," katanya pada sidang media di bilik operasi jentera pilihan raya calon Gerakan di sini hari ini.

Sementara itu, Wendy yang turut hadir turut kecewa terhadap kewujudan sebuah poster menunjukkan gambarnya dijadikan boneka kepada PH dipercayai diedarkan pihak tertentu.

Menurutnya, poster itu mula tersebar sejak kelmarin di laman-laman sosial dan dianggapnya bersifat seksis.

"Poster itu ditulis dengan perkataan 'Undi Gerakan, PH akan menang' seolah-olah cuba memanipulasi wanita, bersifat seksis dan mendapatkan pelbagai reaksi warganet.

Artikel Berkaitan:

"Perkara seperti ini tidak betul kerana sejak daripada awal, saya sudah kata tidak akan menggunakan taktik menyerang peribadi calon parti lawan. Ini tidak betul, "katanya.

Wendy berkata, satu laporan dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam bagi membantah segala kegiatan kempen yang seolah-olah menyerang peribadi calon lawan.

"Kita tidak mahu gambar seperti ini diolah bagi memburukkan mana-mana pihak bertanding PRK kali ini," katanya.