Nelayan 'kantoi' lalok di tengah laut

Sebahagian nelayan yang ditahan di tengah laut selepas positif dadah. - Foto ihsan APMM
Sebahagian nelayan yang ditahan di tengah laut selepas positif dadah. - Foto ihsan APMM
A
A
A

KUALA KEDAH - Seramai 39 nelayan yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah kantoi di tengah laut apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah Kota Setar menggempur perairan negara.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, seramai 39 nelayan berjaya ditahan dalam Operasi Rintis Perdana di perairan Kuala Kedah semalam.

Menurutnya, kesemua nelayan yang didapati positif dadah berusia antara 16 hingga 52 tahun dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut oleh AADK.

“Keseluruhan 42 nelayan menjalani saringan air kencing namun 39 daripada mereka didapati positif dadah jenis morfin dan methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mahmad Faizal berkata, operasi diadakan bagi membasmi penagihan dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan nelayan di sekitar kawasan perairan selain mencegah perlakuan jenayah maritim lain.

Anggota penguatkuasa memeriksa bahagian bawah bot nelayan bagi mencari nelayan yang cuba bersembunyi ketika operasi diadakan. - Foto ihsan APMM
Anggota penguatkuasa memeriksa bahagian bawah bot nelayan bagi mencari nelayan yang cuba bersembunyi ketika operasi diadakan. - Foto ihsan APMM

“Operasi bersama ini juga bertepatan dengan projek rintis AADK dalam menangani masalah sosial tersebut,” katanya.

Menurutnya, turut ditahan termasuk empat warganegara Thailand dalam operasi yang bermula pada 9 pagi hingga 5 petang itu.

Artikel Berkaitan:

“Operasi turut melibatkan anggota Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) daerah Kota Setar serta MBAS (Majlis Bandaraya Alor Setar) yang turut sama membantu,” katanya.

Mahmad Faizal berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap aktiviti yang melanggar undang-undang perairan negara dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penyalahgunaan dadah atau aduan di laut menghubungi talian 24 jam, MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Anggota APMM dan AADK menggempur beberapa bot nelayan di tengah laut dalam Operasi Rintis Perdana di perairan Kuala Kedah semalam. - Foto ihsan APMM
Anggota APMM dan AADK menggempur beberapa bot nelayan di tengah laut dalam Operasi Rintis Perdana di perairan Kuala Kedah semalam. - Foto ihsan APMM