Samun pelajar: Pembantu kedai dijel tujuh tahun

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Seorang pembantu kedai makan dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyamun seorang pelajar perempuan dua bulan lepas.

Hakim Dazuki Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas Sheikh Norafzan Abdul Ghani, 31, yang berasal dari Wakaf Bharu, Kelantan, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Dalam penghakimannya, Dazuki menasihati tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahannya dan berkata lelaki itu seharusnya berfikir panjang sebelum terlibat dalam jenayah yang boleh membahayakan nyawa orang lain.

"Awak masih bernasib baik kerana tidak menikam mangsa memandangkan awak bersenjata. Jika awak yang disamun, adakah awak marah? Atau jika kejadian sama berlaku terhadap adik atau waris awak?

"Kesalahan yang dilakukan adalah serius. Saya lihat awak juga bernasib baik kerana mangsa tidak jatuh semasa awak menarik beg sandangnya. Jika mangsa cedera, keadaannya mungkin lebih teruk untuk awak," kata hakim itu yang mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 16 September lepas.

Mengikut pertuduhan, Sheikh Norafzan didakwa menyamun Heng Khai Qi, 15, pada jam 4 pagi, 11 September lepas di Lorong Indera Mahkota 6/2 di sini, dengan melarikan beg sandang mangsa yang mengandungi wang tunai RM400 dan dua telefon pintar jenama iPhone dan Huawei.

Ketika kejadian mangsa dikatakan baharu pulang dari restoran makanan segera berhampiran mendakwa kerugian kira-kira RM1,000.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat. ​​​​​

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman terhadapnya diringankan atas alasan perlu menjaga adik-beradiknya memandangkan ibu bapa mereka sudah meninggal dunia.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Haryati Abdullah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tertuduh menggunakan pisau dan telah mengejar mangsa ketika kejadian itu, selain turut mempunyai rekod kesalahan lampau menceroboh. - Bernama