'Zakat untuk umat Islam'

Ustaz Daud (kiri), Wan Akashah (kanan)
A
A

SHAH ALAM - Beberapa tokoh agama menyokong Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang bertitah agar memberikan zakat kepada kalangan asnaf yang terdiri daripada orang Islam sahaja.

Agihan zakat kepada bukan Islam dibolehkan sekiranya ia menjadikan penyebab individu berkenaan memeluk Islam di bawah asnaf Mu’allafati Qulubuhum.

Bagi pendakwah Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid berkata, sekiranya hendak mengagihkan bantuan kepada orang bukan Islam, pihak berkenaan perlulah menubuhkan dana lain tidak melibatkan zakat.

"Sebab fungsi zakat sebenarnya adalah untuk mengurangkan atau membasmi kemiskinan kepada orang Islam.

"Maknanya di sini, kita pun masih banyak orang-orang yang Islam yang masih miskin yang masih termasuk di dalam lapan (golongan) asnaf.

"Masih banyak lagi, antara punca gejala sosial yang berlaku, terpaksa bekerja dua tiga kerja dalam satu masa dan kita masih berpegang prinsip asas zakat hanya untuk orang Islam sahaja," katanya.

Sementara itu, Ustaz Daud Che Ngah pula menegaskan, tiada istilah zakat untuk orang bukan Islam.

Menurutnya, agihan zakat ini telah dinyatakan secara spesifik dalam al-Quran iaitu kepada lapan asnaf yang layak, orang fakir, miskin, amil, muallaf, hamba, orang berhutang (al-gharimin), orang yang berjuang di jalan ALLAH (fisabilillah) dan musafir.

"Dalam al- Quran sendiri sudah jelas disebut zakat hanya untuk orang Islam. Telah disebut hanya lapan golongan sahaja yang layak terima zakat.

"Jika ingin bantuan zakat, masuk Islam dahulu. Kita tidak kutip duit orang Islam untuk diagihkan kepada orang bukan Islam. Boleh membantu golongan bukan Islam tetapi bukan dengan (wang ) zakat," katanya.

Katanya, terdapat banyak lagi cukai lain yang boleh digunakan bagi mengagihkan bantuan zakat kepada orang bukan Islam itu kerana negara kita juga memperkenalkan pelbagai sistem percukaian.