Kebanyakan dana 1MDB untuk TRX, Bandar Malaysia disalurkan ke PSI

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kebanyakan dana yang dikumpul 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk pembangunan Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) atau dikenali sebagai Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia disalurkan ke PetroSaudi International Ltd (PSI).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi semasa mendedahkan perkara itu di Mahkamah Tinggi hari ini berkata, mengikut rancangan 1MDB mengumpul RM5 bilion dan RM10 bilion melalui kemudahan pinjaman penyambung untuk projek KLIFD dan Bandar Malaysia.

"Bagaimanapun, 1MDB hanya dapat mengumpul kira-kira RM1 bilion untuk projek KLIFD manakala RM10 bilion untuk pembangunan semula tanah lapangan terbang tidak diperoleh.

"Hanya sebahagian kecil daripada pinjaman itu digunakan untuk projek tersebut, majoritinya sebenarnya disalurkan ke PSI sebagai bayaran tambahan kepada perjanjian Murabaha," katanya.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-30 perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan dana 1MDB.

Muhammad Shafee: Adakah dana RM5 bilion dan RM10 bilion dikumpul 1MDB?

Shahrol Azral: Bagi RM5 bilion, ya. Untuk RM10 bilion, tidak.

Muhammad Shafee: Untuk membiayai apa?

Artikel Berkaitan:

Shahrol Azral: Bagi membiayai kedua-dua projek ini, Sungai Besi (pembangunan tanah lapangan terbang) dan TRX.

Muhammad Shafee: Adakah RM5 bilion pernah digunakan untuk projek (TRX)?

Shahrol Azral: Hanya sebahagian kecil digunakan untuk TRX, kalau tak silap saya, walaupun saya perlu melihat rekod kewangan berkenaan. Wang itu kebanyakannya untuk PSI sebagai bahagian tambahan kepada perjanjian Murabaha yang kita perkatakan sebelum ini.

Semasa ditanya sama ada Najib pernah menyatakan beliau tahu secara khusus siapa pemilik PSI, saksi itu berkata: "Najib tidak pernah berkata demikian".

Muhammad Shafee: Sebagai perdana menteri pada masa itu (Najib) dalam kapasitinya sebagai pemegang saham, kamu tidak menjangkakan beliau membuat penelitian yang sewajarnya?

Shahrol Azral: Secara umumnya ya. Tapi dalam situasi ini, persepsi saya ialah Najib secara peribadi mempunyai hubungan, telah bertemu dengan Putera Turki (Arab Saudi) semasa bercuti. Saya tidak boleh katakan sama ada perdana menteri mempunyai kapasiti membuat penelitian sewajarnya.

Apabila Muhammad Shafee menyoal sama ada pihak profesional yang sepatutnya membuat penelitian sewajarnya seperti 1MDB sendiri, saksi itu berkata: "setuju".

Mahkamah juga diberitahu bahawa meskipun 1MDB menguasai 40 peratus pegangan dalam syarikat usaha sama dengan PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd, namun syarikat luar itu mempunyai kuasa penuh terhadap syarikat usaha sama itu.

Shahrol Azral, 49, berkata, PetroSaudi menolak begitu sahaja beberapa permohonan 1MDB untuk mendapatkan maklumat mengenai syarikat itu dan untuk mengadakan mesyuarat lembaga pengarah bagi syarikat usaha sama.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Collin Lawrence Sequerah manakala pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Perbicaraan bersambung esok. - Bernama