Kerja baik pulih Stadium Shah Alam perlu diberi perhatian serius

Rizam Ismail
Rizam Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor perlu memberi perhatian serius terhadap kerja-kerja menaik taraf dan baik pulih Stadium Shah Alam yang pada suatu ketika dahulu pernah berada dalam zaman kegemilangannya.

Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail berkata, terdapat beberapa infrastruktur di stadium berkenaan yang perlu dibaikpulih antaranya melibatkan kerosakan-kerosakan yang jelas seperti bumbung, tempat duduk serta scoreboard.

Beliau berkata, memandangkan kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM2.24 juta untuk kerja-kerja pembaikan dan menaiktaraf infrastruktur sukan di negeri ini, maka pihaknya mencadangkan agar sebahagian daripada peruntukan itu disalurkan bagi kerja baik pulih stadium terbabit.

"Venue perlawanan juga adalah cerminan kepada keseriusan sesebuah pasukan yang bertanding.

"Sedihnya, Stadium Shah Alam ini apabila dilihat dari luar, keadaannya tersangatlah uzur dan tiada lagi ciri-ciri stadium yang boleh dibanggakan dengan keadaan kusam dan tidak bermaya," katanya ketika perbahasan Belanjawan Selangor 2020 hari ini.

Mengulas lanjut, Rizam berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman peruntukan RM10 juta menerusi belanjawan baru-baru ini sebagai dana permulaan bagi persediaan pasukan Selangor untuk saingan tahun hadapan.

Beliau berkata, bagaimanapun sejak pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) dan Pakatan Harapan (PH) pada 2008, pasukan Selangor hanya memenangi Piala Liga Super sebanyak dua kali sahaja iaitu pada tahun 2009 dan 2010.

"Sudah tiba masanya pembangunan pasukan negeri Selangor ini diberikan pemerhatian untuk menghasilkan lagi sebuah pasukan yang lebih mantap berbanding musim ini," katanya.

Artikel Berkaitan: