X

Kindly register in order to view this article
!

Inkues Adib: Mahkamah Koroner benar penangguhan prosiding komital

A
A
SHAH ALAM - Mahkamah Koroner di sini hari ini membenarkan permohonan Peguam Negara untuk menangguhkan prosiding komital terhadapnya berkaitan inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim sehingga rayuan terhadap keputusan yang membenarkan prosiding berkenaan dijalankan di Mahkamah Tinggi selesai.

Koroner, Rofiah Mohamad memutuskan demikian selepas mempertimbangkan afidavit serta hujahan dikemukakan oleh pihak responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, S. Narkunavathy dan peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib, Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

"Saya ingin menyatakan bahawa saya tidak mempunyai maklumat konkrit mengenai rayuan responden yang dianggap oleh Mahkamah Tinggi sebagai rayuan jenayah," kata Rofiah.

Rofiah berkata, beliau menganggap prosiding yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi di sini itu sangat substantif kerana jika mahkamah yang lebih tinggi membenarkan rayuan tersebut, ia akan 'melenyapkan' asas kepada permohonan komital.

"Kalau ditangguhkan permohonan komital ini, situasi 'memalukan' dapat dielakkan kerana Mahkamah Tinggi sudah menetapkan bagi mendengar notis usul pemohon untuk batalkan notis rayuan itu," katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 25 November ini sebagai tarikh perbicaraan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Koroner di sini pada 27 Ogos lepas yang membenarkan permohonan komital dijalankan terhadap Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Rofiah berkata, jika Mahkamah Tinggi membenarkan notis untuk membatalkan rayuan Peguam Negara itu, prosiding komital berkenaan boleh diteruskan dan beliau menetapkan 25 November ini untuk pengurusan kes komital berkenaan.

Pada 16 Julai lepas, bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid memfailkan permohonan perintah komital terhadap Tommy kerana menghina mahkamah berkaitan prosiding inkues bagi mencari punca kematian anaknya.

Permohonan sebelah pihak (ex-parte) itu dibuat melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!