Teresa Kok persoal motif protes sawit

Menteri Industri Utama, Teresa Kok. - Foto Bernama
Menteri Industri Utama, Teresa Kok. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim hari ini mempersoal motif pihak yang melakukan protes menuntut pembelaan terhadap peneroka dan pekebun kecil sawit di hadapan bangunan Parlimen di sini.

Menurut Teresa, beliau tidak faham protes berkenaan kerana harga sawit semasa telah meningkat.

“Saya memang tidak faham kenapa mereka buat protes? Saya percaya mereka dibawa oleh Ahli Parlimen pembangkang kerana mereka tahu nanti saya akan gulung perbahasan (Rang Undang-Undang Perbekalan 2020). Kita tahu harga minyak sawit telah naik berbanding Disember tahun lepas, harga minyak sawit adalah RM1,700 satu tan metrik

“Sekarang kalau kita ikut harga di Bursa (Bursa Malaysia Bhd), saya nak nyatakan pada 31 Oktober, harganya adalah RM2,485 satu tan metrik sudah naik lebih kurang RM700 satu tan metrik,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas protes dianjurkan Jawatankuasa Pembela Kebajikan Peneroka dan Pekebun Kecil Pemuda UMNO Malaysia (Pembela), Pertubuhan Kebajikan Warga Felda Malaysia (PKWFM), Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi) dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan di luar bangunan Parlimen pagi tadi.

Tegas Teresa, beliau amat kesal dengan tindakan protes tersebut dan menyifatkan ahli parlimen pembangkang sebagai ‘kurang cerdik’ sekiranya memberi sokongan bagi menjayakan protes seumpama itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: