Isu lesen: KAFA tunggu keputusan FAM, MFL

Wan Rahim (kanan) mengiringi Mohamad (tengah) menyampaikan cenderamata kepada Pengerusi Penasihat KAFA, Datuk Muhammad Nasir Hamzah pada Majlis Makan Malam KAFA di Kota Bharu malam tadi.
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) masih menunggu keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) melibatkan masalah pelesenan kelab untuk menentukan kelangsungan pasukan itu musim akan datang.

Presiden KAFA, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, pihaknya juga sentiasa bertanyakan FAM dan MFL bagi memastikan isu pelesenan yang dihadapi dapat diselesaikan sebaik mungkin.

“Mungkin esok atau lusa keputusan rasmi akan diketahui. KAFA sudah melaksanakan segala tanggungjawab berhubung masalah dengan agensi kerajaan seperti hutang LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial),” katanya kepada pemberita di Kota Bharu semalam.

Terdahulu beliau mengiringi penasihat KAFA, Mohamad Sabu ke Majlis Makan Malam KAFA di sebuah hotel di sini.

Sebelum ini, FAM dan MFL menggantung lesen kelab The Red Warriors (TRW) susulan beberapa masalah yang perlu diselesaikan oleh KAFA, antaranya melibatkan hutang dengan LHDN, Perkeso dan KWSP.

Wan Abdul Rahim berkata, pihaknya sudah melakukan segala keperluan yang perlu dilaksanakan malah turut menyelesaikan masalah yang ditanggung TRW sejak sebelum beliau menerajui persatuan itu.

Katanya, semuanya telah dikemukakan kepada pihak FAM dan MFL, yang tinggal hanyalah pertimbangan dua badan induk tersebut untuk membuat keputusan.

"Kami sedaya upaya memenuhi kriteria itu, kami membuat pembayaran RM100,000 kepada LHDN, RM200,000 (KWSP) dan RM16,000 (Perkeso).

"Kami harap ia dapat diselesaikan dengan baik dan peminat-peminat juga sudah tidak sabar untuk pemain mereka kembali beraksi," katanya.