Bot karam: Empat nelayan berenang selamatkan diri

Empat nelayan nyaris lemas selepas bot mereka karam pada jarak 1.4 batu nautika Timur Laut Pulau Songsong malam tadi. - Foto APMM Kedah
Empat nelayan nyaris lemas selepas bot mereka karam pada jarak 1.4 batu nautika Timur Laut Pulau Songsong malam tadi. - Foto APMM Kedah
A
A
A

SUNGAI PETANI - Empat nelayan nyaris lemas selepas bot pukat tunda yang dinaiki mereka karam pada jarak 1.4 batu nautika Timur Laut Pulau Songsong kira-kira jam 10 malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dan bergegas ke lokasi kejadian bersama sebuah bot dan empat anggota.

"Mangsa menyelamatkan diri dengan berenang sehingga ke Pulau Songsong untuk meminta bantuan orang awam yang berada di situ untuk aktiviti memancing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan ke lokasi kejadian mendapati dua nelayan tempatan dan dua nelayan warganegara Thailand terselamat selepas bot mereka karam.

"Kesemua mangsa membabitkan nelayan tempatan berusia 28 dan 35 tahun manakala dua orang lagi iaitu nelayan warganegara Thailand berusia 42 dan 45 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi hanya keletihan setelah agak lama berada di laut," katanya.

Menurut beliau, mangsa diselamatkan dan dibawa ke Pejabat Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

Beliau dalam masa sama menasihati orang ramai yang ingin melakukan sebarang aktiviti di laut agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan.

Sebarang aduan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan: