Perumahan bercampur RM965.19 juta dibangunkan di Melaka

Adly Zahari
Adly Zahari
A
A
A
MELAKA TENGAH - Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dengan kerjasama Paduwan Realty Sdn Bhd akan membangunkan projek perumahan bercampur di daerah ini dan Jasin bernilai RM965.19 juta.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, projek itu turut membabitkan pembangunan 567 unit Rumah Mampu Milik (RMM) dan dua fasa yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh enam tahun.

“Projek itu akan dilaksanakan di kawasan seluas 123.5 hektar yang turut meliputi pembinaan 1,353 unit rumah teres dijual pada harga antara RM350,000 dan RM900,000. Ayer Panas dan Ayer Molek dipilih berikutan lokasinya strategik berhampiran sempadan daerah Jasin dan Melaka Tengah.

“Oleh itu, kita dapat memenuhi keperluan penduduk setempat dan kawasan sekitar untuk memilih Melaka sebagai tempat kediaman mereka,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian projek tersebut di Ayer Keroh di sini, hari ini.

LPM diwakili Pengarah Eksekutifnya, Saleh Mohd Dom manakala Paduwan Realty diwakili Pengarah Urusannya Datuk Seri Poh Geok Seng dan Pengarahnya, Poh Tin Yap.

Dalam pada itu, Adly menggesa golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) di negeri ini merebut peluang membuat permohonan pembiayaan pembelian kediaman pertama.

“Kerajaan negeri melalui kerjasama kerajaan persekutuan menyasarkan lebih 48,000 unit RMM dibina di seluruh negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Daripada jumlah itu, 19,090 unit RMM akan dibangunkan jabatan atau agensi kerajaan negeri termasuk LPM, Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka, Perbadanan Ketua Menteri dan pemaju swasta,” katanya.

Manakala, menurutnya 28,922 unit RMM pula dibangunkan jabatan atau agensi persekutuan seperti Perbadanan PR1MA Malaysia, Syarikat Perumahan Negara Bhd, Unit Perumahan Penjawat Awam Malaysia serta Jabatan Perumahan Negara.
Artikel Berkaitan:


“Setakat ini, sebanyak 2,576 unit RMM sudah siap dan dalam proses pembinaan secara berperingkat sehingga akhir tahun ini.

“Kerajaan negeri telah menetapkan harga RMM di Melaka tidak melebihi RM180,000 seunit dengan keluasan minimum 1,000 kaki persegi dengan mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air,” katanya. - Bernama