Air Selangor operator tunggal perkhidmatan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Selepas beberapa tahun tertangguh, Air Selangor bakal menjadi operator tunggal dalam perkhidmatan bekalan air bagi negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ia berikutan Perjanjian

Tambahan Ketiga Kepada Perjanjian Utama, Penstrukturan Semula Industri air itu dimeterai hari ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli (Kats), Dr Xavier Jayakumar berkata, Air Selangor akan menjalankan operasinya bermula 1 April depan.

"Saya juga mengharapkan dengan momentum ini urusan pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH) berjalan lancar dan pada 1 April 2019, Air Selangor akan dapat beroperasi sebagai pemegang lesen individu tunggal perkhidmatan bekalan air," katanya.

Menurutnya, di bawah perjanjian itu, kerajaan melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) telah bersetuju menyediakan kemudahan pembiayaan RM1.9 bilion bagi membantu pengambilalihan tersebut.

"Pembiayaan PAAB dengan kadar faedah yang kompetitif dan jangka bayar balik yag panjang mampu mengurangkan tekanan ke atas tarif air ke atas pengguna," katanya.

Beliau berkata, menerusi penstrukturan tersebut Air Selangor akan beroperasi secara aset (asset light).

Artikel Berkaitan:

"Air Selangor tidak lagi dibebankan dengan tanggungjawab untuk mendapatkan pembiayaan bagi membangunkan aset-aset air, sebaliknya hanya menyewa daripada PAAB dengan membayar sewa pajakan pada kadar yang kompetitif.

"Melalui cara ini, Air Selangor akan dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada usaha meningkatkan kecekapan dan keberkesanan operasi serta kualiti perkhidmatan kepada pengguna," katanya dalam ucapan Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan Ketiga

Kepada Perjanjian Utama Penstrukturan Semula industri air, di sini.

Perjanjian tambahan ketiga itu diantara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Selangor, PAAB dan Air Selangor disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kats, Datuk Dr Tan Yew Chong, Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kats, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dan Menteri Besar Selangor, Datuk Amiruddin Shari.

Sementara itu, Amiruddin berkata, dengan kejayaan Penstrukturan itu, Air Selangor dapat mengurangkan kos air terawat kepada kadar yang lebih munasabah.

"Pengurangan kos operasi ini juga akan memberi kesan positif terhadap kecekapan operasi Air Selangor," katanya.

Menurutnya, Air Selangor telah merancang perbelanjaan bagi kerja-kerja modal (CAPEX) sebanyak RM30 billion untuk tempoh 30 tahun bermula pada tahun 2019, bagi meningkatkan sistem perkhidmatan air kepada penduduk.

"Program bagi pelaburan CAPEX ini adalah berlandaskan pelan strategik operasi yang telah dirangka bagi memenuhi keperluan semasa akan datang," katanya.