Isu MPKK: Pahang sangkal dakwaan Fuziah

Wan Rosdy Wan Ismail, Keratan Sinar Harian semalam
Wan Rosdy Wan Ismail, Keratan Sinar Harian semalam
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang tidak pernah memberi komitmen kepada cadangan Ahli Parlimen Kuantan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berhubung keanggotaan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri itu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau menyangkal kenyataan Fuziah kononnya Kerajaan Negeri Pahang sebelum ini bersetuju dengan cadangannya tentang keanggotaan MPKK itu.

Menurutnya, cadangannya pelantikan keanggotaan MPKK di Pahang di bawah pimpinan BN perlu melibatkan wakil kedua-dua parti termasuk dari Pakatan Harapan (PH) dan keanggotaannya di setiap MPKK dikuasai secara majoriti oleh parti yang menang di sesebuah kawasan Parlimen berkenaan.

"Fuziah kata kononnya persetujuan itu dicapai pada ‘rundingan awal’ antara beliau dengan saya dan ini saya percaya berlaku semasa kunjungan beliau ke di Wisma Sri Pahang pada awal September 2018.

"Ekoran itu dia (Fuziah) mengeluarkan kenyataan seperti disiarkan Sinar Harian kononnya kerajaan negeri tidak menghormati ‘rundingan awal’ tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lantikan MPKK, Kerajaan Pahang tak hormat rundingan awal: Fuziah

Wan Rosdy berkata, beliau akui Fuziah ada kemukakan cadangan tentang keanggotaan MPKK ini pada kunjungan tersebut.

"Bagaimanapun, saya dan rakan-rakan yang hadir pada perjumpaan tersebut termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail tidak memberi sebarang persetujuan atau komitmen terhadap cadangan beliau itu.

Artikel Berkaitan:

"Maka sangat tidak wajar kenyataan beliau apabila mengatakan kami bersetuju dan ini seperti cubaan ‘putting words into one’s mouth’ atau menyuruh kami menelan bulat-bulat apa yang dicadangkannya," katanya.

Beliau berkata, selepas itu beberapa perkembangan dan keputusan baharu mengenai MPKK terutama bagi negeri yang tidak dikuasai PH dicapai Kerajaan Persekutuan pada 10 Oktober 2018 yang membuat beberapa ketetapan berhubung perkara itu.

"Antara keputusan yang dicapai, lima anggota tambahan MPKK perlu terdiri daripada ahli parlimen atau ahli dewan undangan negeri (ADUN) atau wakil PH. Kerajaan persekutuan akan membiayai elaun MPKK sekiranya kerajaan negeri bersetuju dengan syarat untuk lima anggota tambahan itu.

"Pembayarannya secara ‘Electronic Fund Transfer’ (EFT) oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) termasuk pembayaran elaun kepada Terengganu, Kelantan, Pahang dan Perlis," katanya.

Wan Rosdy berkata, pada mesyuarat mengenai MPKK di negeri yang tidak ditadbir Persekutuan pada 5 November 2018 yang diuruskan Bahagian Komuniti Desa, KPLB, ketetapan Kabinet tersebut dibincang untuk dilaksanakan.

"Ekoran itu Kerajaan Negeri Pahang menubuhkan MPKK di kesemua 542 kampung di negeri ini dan penyerahan surat pelantikan untuk pengerusi, setiausaha dan 11 anggota lain dilakukan di Kuala Lipis pada 14 Disember 2018.

"Lima anggota tambahan dari PH sepertimana ketetapan oleh Kabinet tidak dibuat sehingga ke hari ini kerana belum mendapat pencalonan daripada parti berkenaan menerusi KPLB," katanya.

Justeru katanya, Fuziah diharap tidak berdolak-dalik mengenai perkara tersebut sebaliknya perlu menurut saluran yang betul sepertimana dilakukan Kerajaan Negeri Pahang dalam menerima dan melaksanakan keputusan Kabinet mengenai keanggotaan MPKK tersebt.

ARTIKEL BERKAITAN: Pahang wujudkan kembali JKKK jika MPKKP diperkenalkan