Helikopter terhempas: Tiga mayat ditemukan

Pengawal Pantai Korea Selatan melakukan rondaan di kawasan sekitar lokasi nahas terbabit. - Foto AFP
Pengawal Pantai Korea Selatan melakukan rondaan di kawasan sekitar lokasi nahas terbabit. - Foto AFP
A
A
A

SEOUL - Pasukan penyelamat Korea Selatan hari ini menemukan tiga mayat dipercayai antara tujuh penumpang yang dilaporkan hilang selepas helikopter dinaiki mereka terhempas ke dalam laut kira-kira dua minit sejurus ia berlepas dari kepulauan kecil Dokdo yang menjadi pertikaian dengan Jepun kelmarin.

Jurucakap Pengawal Pantai di Seoul memaklumkan salah satu mayat dijumpai di dalam bangkai helikopter tersebut pada kedalaman 72 meter (m) dan jarak 600m dari Dokdo.

"Penemuan dua lagi mayat dibuat di kawasan berhampiran. Identiti kesemua mayat tersebut belum dikenal pasti. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan untuk mencari empat lagi yang masih hilang," ujarnya.

Difahamkan, mayat tersebut ditemukan kapal selam tanpa pemandu walaupun pasukan penyelam cuba menjejaki kesemua mangsa secara manual kerana bimbang 'tangan robot' kenderaan terbabit akan merosakkan mayat tersebut.

"Kami akan melakukan yang terbaik hingga kesemua mayat dapat diserahkan kepada keluarga masing-masing," katanya lagi.

Sebelum nahas itu berlaku, helikopter Eurocopter EC225 itu dilaporkan baru menyelamatkan seorang nelayan yang cedera dari Dokdo yang turut dikenali sebagai Takeshima di Jepun.

Operasi SAR besar-besaran yang turut disertai sukarelawan dalam kalangan orang awam itu berjaya menemukan bangkai helikopter berkenaan dalam keadaan terbalik di dasar laut dan ekor pesawat yang terputus dari badannya turut dijumpai pada jarak 110m. - AFP

ARTIKEL BERKAITAN: Misi mencari helikopter terhempas di Korea Selatan diteruskan

Artikel Berkaitan: