'The Makcik Bawang Show With Nyonya Goh' curi tumpuan Tunku Azizah

Tunku Azizah berangkat mencemar duli ke Majlis Ramah Mesra Bakat di Rumah Bakat hari ini. - Foto Bernama
Tunku Azizah berangkat mencemar duli ke Majlis Ramah Mesra Bakat di Rumah Bakat hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sketsa ‘The Makcik Bawang Show With Nyonya Goh’ mencuri tumpuan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berangkat mencemar duli ke Majlis Ramah Mesra bersama Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) di Rumah Bakat di sini hari ini.

Tunku Azizah yang kelihatan terhibur dengan gelagat pelakon sketsa yang ‘membawang’ berkaitan peranan dimainkan anggota Bakat dalam menjaga kebajikan ahlinya, turut dilihat merakam adegan sketsa berkenaan menggunakan telefon pintar baginda.

Sketsa itu antara pengisian majlis ramah mesra, selain persembahan tarian zapin, peragaan busana dan nyanyian.

Pada majlis itu, Raja Permaisuri Agong berkenan menghiburkan 150 ahli Bakat yang hadir dengan mendendangkan sebuah lagu ‘Can't Take My Eyes off You’.

Tunku Azizah bersalaman dengan ahli Bakat selepas berangkat mencemar duli ke Majlis Ramah Mesra Bakat di sini hari ini. - Foto Bernama
Tunku Azizah bersalaman dengan ahli Bakat selepas berangkat mencemar duli ke Majlis Ramah Mesra Bakat di sini hari ini. - Foto Bernama

Terdahulu, Tunku Azizah yang diiringi anakanda, Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah berkenan meluangkan masa lebih setengah jam melihat kraf tangan yang dihasilkan oleh anggota Bakat antaranya jahitan manik, sulaman dan gubahan bunga herba.

Anggota Bakat turut mempersembahkan demonstrasi masakan iaitu masak lemak cili api daging salai dengan kulit rambai, rendang betik, ayam kampung masak rantau dan apam johol kepada baginda yang berkenan merasa kesemua masakan berkenaan.

Hadir sama isteri Menteri Pertahanan, Normah Alwi dan Pengerusi Jemaah Tertinggi Bakat, Puan Sri Rusnah A Rahman.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rusnah dalam ucapannya berkata, majlis seumpama ini membuka peluang ahli Bakat mengenali lebih rapat Tunku Azizah dan memohon titah nasihat baginda yang sememangnya tokoh dalam kerja-kerja kebajikan.

“Penglibatan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka baginda tuanku dalam kerja kebajikan sentiasa menjadi teladan dan memberi inspirasi kepada Bakat untuk terus menyumbang tenaga dan menyalurkan bantuan. Ia juga adalah sinonim dengan misi utama badan ini ke arah kebajikan keluarga tentera,” katanya.

Rusnah berkata, Bakat berperanan menjaga kebajikan keluarga anggota tentera sepanjang masa tanpa mengira agama, bangsa dan pangkat suami. - Bernama