Sabah komited perangi rasuah

Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal
A
A
A

KOTA KINABALU - Pelan Antirasuah Organisasi Jabatan Ketua Menteri yang dilancar hari ini merupakan komitmen Kerajaan Sabah untuk memerangi rasuah dalam perkhidmatan awam negeri.

Jabatan Ketua Menteri merupakan jabatan kerajaan negeri pertama melancarkan pelan antirasuah itu yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Ia membabitkan 26 organisasi di bawah jabatan itu dengan pelan berkenaan untuk tempoh masa lima tahun dari 2019 hingga 2023.

Berucap pada majlis pelancaran itu, Mohd Shafie mahu jabatan lain di negeri itu mempunyai pelan antirasuah masing-masing bagi memastikan tiada ketirisan menyumbang kepada rasuah dalam perkhidmatan awam negeri.

Katanya, pelan ini dibuat dengan melalui penilaian risiko dan digubal sebagai panduan dalam memerangi rasuah.

"Komitmen kerajaan negeri adalah membanteras rasuah secara habis-habisan di semua peringkat khususnya di sektor awam.

"Kita di Sabah (kerajaan negeri) bukan hanya mengurus tadbir kewangan secara teratur agar perkhidmatan awam sempurna tetapi memastikan tiada unsur ketirisan menyumbang kepada rasuah," katanya.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Mohd Shafie berkata, Kerajaan Sabah adalah yang pertama melancarkan pelan antirasuah itu selepas Pelan Antirasuah Nasional dilancarkan di peringkat pusat pada Januari lepas oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Artikel Berkaitan:

Beliau yakin, pelan antirasuah itu yang membabitkan semua agensi di bawah JKM membolehkan mereka memahami cara dan kaedah menangani rasuah.

"Saya berharap bukan hanya ada acara pelancaran tapi harus disusuli beberapa pertemuan, mesyuarat dan penjelasan membolehkan usaha berkesan dilakukan dalam menangani rasuah peringkat Sabah.

"Isu rasuah merupakan satu isu besar sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 dan perlu ditangani masalah ini bukan hanya pendekatan dan pencegahan tetapi perlu tindakan," kata Mohd Shafie. - Bernama