Kadangkala kita pun tersilap

A
A
A

ADALAH muktamad kita bukannya sempurna serta terdedah kepada sebarang kesilapan dan kesalahan sepanjang meneruskan pengembaraan hidup ini.

Pun begitu, kita seharusnya sentiasa berusaha mengurangi kesilapan tersebut. Ada ketikanya, kita sedar kita salah, ada masanya orang lain yang menegur kesalahan kita dan ada waktunya kita tidak sedar akan kesalahan kita sehinggalah kita menerima hidayah dan ujian daripada ALLAH. Walau apa pun, salah tetap salah. Kita mesti berusaha untuk tidak mengulanginya.

Sebetulnya, kesilapan yang dilakukan oleh kita dan disedari oleh orang lain adalah lebih mudah diperbetulkan berbanding dengan kesilapan yang dilakukan oleh kita dan tidak diketahui oleh orang lain. Ini bermakna, kita sendiri yang perlu ‘menegur’ kesilapan tersebut agar tidak diulangi lagi.

Pun begitu, bukan mudah untuk menegur diri sendiri. Akhirnya segala kesilapan tersebut menjadi rahsia dalam diri dan mula bermonolog dengan diri sendiri.

Secara umumnya tingkat kerahsiaan bagi mereka yang melakukan kesalahan tanpa diketahui oleh orang lain adalah berbeza bagi setiap individu.

Mereka mempunyai satu persamaan iaitu berduka dan menyesal pada diri sendiri. Kadangkala, ada yang mencerca diri sendiri dengan mengurung serta mengasingkan diri daripada orang lain.

Ada juga yang mula mengubah tatacara kehidupan daripada aktif kepada pasif. Malah terdapat juga yang tidak berhenti menangis dan bersedih dengan kesilapan mereka.

Tambahan pula, bagi mereka yang sedang berusaha untuk mendekatkan diri dengan ALLAH dan berlaku pula kesalahan yang melanggar syariat-Nya, lagilah berasa sedih kerana beranggapan bahawa ibadat yang dilakukan selama ini sudah tentu tidak diterima oleh ALLAH.

Natijahnya, mereka bukan sahaja mencerca diri sendiri, malah mencerca kepada penyumbang yang mendorong beliau melakukan dosa berkenaan.

Pada prinsipnya, merahsiakan segala kesalahan yang dilakukan oleh kita selaras dengan tuntutan agama agar kita tidak membuka aib diri kita sendiri dan biarlah menjadi rahsia antara kita dengan ALLAH sahaja.

Artikel Berkaitan:

Ini dijelaskan oleh Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA: “Setiap daripada umatku diampunkan melainkan golongan mujahirin. Antara perbuatan mujaharah ialah seorang lelaki melakukan satu amalan pada waktu malam kemudian dia bangun pada waktu pagi dalam keadaan ALLAH menutup apa yang dilakukannya pada waktu malam. Lalu dia berkata: Wahai fulan, semalam aku melakukan perbuatan ini dan perbuatan itu. Sesungguhnya dia tidur dalam keadaan ALLAH menutup aib yang dia lakukan lalu dia bangun pagi dan mendedahkan apa yang ALLAH tutup darinya.” (Hadis Riwayat Bukhari). Jika ingin meminta bimbingan, Imam al-Nawawi menyatakan harus untuk menyebut apa yang telah dia lakukan sahaja.

Berkaitan hal itu, menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi: "ALLAH memerintahkan semua orang yang beriman supaya bertaubat kepada-Nya. Tidak terkecuali seorang pun, tidak kira sekukuh mana istiqamah (komitmen) seseorang itu dan setinggi mana dia menggapai darjat ketakwaan, dia tetap memerlukan kepada taubat."

Itu bermakna, kita bukanlah maksum daripada dosa-dosa besar dan kecil, perbuatan syubhah serta kelalaian yang terlintas di hati kita.

Ketahuilah, sesekalipun dosa kita sebanyak buih-buih di lautan, namun pengampunan ALLAH seluas langit terbentang.

Menurut Anas bin Malik RA: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, ALLAH SWT berfirman: “Wahai anak Adam, sepanjang engkau memohon kepada-Ku dan berharap kepada-Ku, akan Aku ampunkan apa yang kamu lakukan. Aku tidak peduli, wahai anak Adam, jika dosa-dosamu setinggi awan di langit kemudian engkau meminta keampunan kepada-Ku, akan Aku ampuni. Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang membawa kesalahan sebesar dunia, kemudian engkau datang kepada-Ku tanpa menyekutukan Aku dengan sesuatu apa pun, pasti Aku akan datang kepadamu dengan ampunan sebesar itu pula.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Justeru, jangan diremehkan kesilapan kita. Sentiasalah memohon keampunan serta diberikan perlindungan agar tidak lagi mengulangi kesilapan tersebut daripada ALLAH.

Malah terdapat juga yang tidak berhenti menangis dan bersedih dengan kesilapan mereka.

* Prof Dr Huzili ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis