Nasib nelayan mangsa kebakaran di Tanjung Piai dapat perhatian

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub (tengah) bersama Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Jamaludin Bin Othman (kiri) beramah mesra dengan Abdul Razak Sahak, 60, ketika menyerahkan surat kelulusan bantuan program bina baharu menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) di kediamannya di Jalan Benting Dinding, Tanjung Piai hari ini. - Foto Bernama
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub (tengah) bersama Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Jamaludin Bin Othman (kiri) beramah mesra dengan Abdul Razak Sahak, 60, ketika menyerahkan surat kelulusan bantuan program bina baharu menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) di kediamannya di Jalan Benting Dinding, Tanjung Piai hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PONTIAN - Nasib seorang nelayan, Abdul Razak Sahak, yang kehilangan rumah dalam kebakaran di Jalan Benting Dinding, Tanjung Piai, di sini, 27 Oktober lalu mendapat perhatian kerajaan yang menyampaikan bantuan pembinaan rumah baharu dengan kos maksimum RM56,000.

Surat kelulusan bantuan program bina baharu menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) kepada Abdul Razak, 60, itu disampaikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika meninjau lokasi kejadian hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MOA, Datuk Salim Parlan dan Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Jamaludin Othman.

Salahuddin berkata, pemberian bantuan tersebut merupakan kewajipan kerajaan malah ia biasa diberikan kepada nelayan yang ditimpa musibah sama ada bot mereka hilang, pecah atau musibah lain seperti kebakaran berkenaan.

PKPN merupakan usaha kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah dengan membaik pulih rumah, membina rumah baharu dan mewujudkan penempatan semula nelayan dengan prasarana asas supaya golongan nelayan menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan selesa.

PKPN terbuka kepada golongan nelayan yang memenuhi syarat-syarat kelayakan dengan pembinaan rumah baharu di atas tanah milik nelayan dengan kos maksimum RM56,000 bagi sebuah rumah.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, dia sekeluarga berterima kasih dan bersyukur atas keprihatinan kerajaan menerusi MOA dan LKIM yang membantu membina rumah baharu.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 malam itu, Abdul Razak berkata, dia sekeluarga tidak sempat menyelamatkan barang-barang di rumah tersebut yang musnah sepenuhnya sehingga kerugian kira-kira RM150,000.

Artikel Berkaitan:

Menceritakan lebih lanjut, Abdul Razak berkata, kejadian berlaku ketika dia tidak berada di rumah selepas keluar sejak 9 malam, namun, isterinya serta anak berada di premis berkenaan.

"Rumah ini mempunyai dua pintu (dua unit) yang satu pintu (satu unit) dihuni oleh saya, isteri (Badu Haron, 58) dan anak perempuan, (Nor Atikah Hanim,18).

"Satu pintu lagi dihuni oleh seorang lagi anak perempuan bersama suaminya serta tiga anak mereka," katanya dengan sebak.

Menurut Abdul Razak, rumah berkenaan diduduki mereka sekeluarga sejak lima tahun lepas dan buat masa ini mereka sekeluarga menumpang di rumah seorang saudara berhampiran. - Bernama