Kembar jadi seteru, Zaquan ketepi hubungan dengan Aidil

Zaquan Adha (tengah) beraksi bersama Lang Merah
Zaquan Adha (tengah) beraksi bersama Lang Merah
A
A
A

PETALING JAYA - Penyerang Kedah, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak akan mengetepikan sementara ikatan adik-beradik dengan pasangan kembarnya, Aidil Zafuan Abdul Razak yang mewakili Johor Darul Ta'zim (JDT) pada final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Bekas pemain kebangsaan itu yang pernah menjulang Piala Malaysia sebanyak dua kali bersama Aidil pada 2009 dan 2011 sewaktu beraksi dengan Negeri Sembilan, menegaskan fokus utamanya adalah membantu Kedah menjulang Piala Malaysia buat kali keenam walaupun sedar Aidil Zafuan yang merupakan abangnya, turut memasang impian yang sama.

Untuk rekod, Kedah muncul juara Piala Malaysia sebanyak lima kali iaitu pada 1990, 1993, 2007, 2008 dan 2016, manakala JDT meraih kejuaraan sulung pada 2017 setelah menewaskan Kedah 2-0 pada aksi final di Stadium Shah Alam.

"Sentimen adik-beradik itu kita perlu tolak ke tepi dahulu apabila berada di tengah padang, cuma kita berdua akan buat yang terbaik untuk pasukan masing-masing, dan doa emak itu penting.Menang kalah itu adat pertandingan.

"Final kali ini memang berbeza kerana saya beraksi menentang pasukan abang saya dan perlawanan akhir ini tidak akan sama dengan perlawanan lain sama ada di peringkat kumpulan dan sebagainya kerana setiap pemain ingin beraksi di pentas final," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zaquan Adha mengakui beliau dan Aidil Zafuan sudah memahami permainan masing-masing kerana pernah beraksi bersama sejak mewakili negeri kelahiran mereka, Negeri Sembilan dari 2006 sehingga 2011, namun beliau percaya perancangan taktikal terbaik pasukan masing-masing bakal menjadi penentu pemenang perlawanan malam esok.

Pandangan sama turut disuarakan pemain sayap Kedah, Azammuddin Mohd Akil, yang mengintai kejuaraan keempat Piala Malaysia bersama skuad Lang Merah setelah meraih kejuaraan sama dengan dua pasukan lain sebelum ini.

Pemain kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu pernah menjulang Piala Malaysia bersama Pahang sebanyak dua kali iaitu pada 2013 dan 2014, serta JDT pada 2017.

Artikel Berkaitan:

"Perlawanan malam esok dijangka sengit, namun saya fokus kepada persembahan saya untuk membantu Kedah menjulang Piala Malaysia, dan sekiranya jurulatih (Aidil Sharin Sahak) turunkan saya, Insya-Allah, saya akan beri yang terbaik," jelasnya yang mesra dengan panggilan Alex dalam kalangan rakan sepasukan.

Pemain pertahanan kanan Kedah, Mohd Rizal Ghazali pula yakin pemain yang bakal menggantikan tempatnya pada aksi final esok, mampu mengekang trio serangan JDT iaitu Luis Diogo Santo, Muhammad Safawi Rasid dan Gonzalo Cabrera yang menjadi nadi kekuatan skuad Harimau Selatan dalam saingan Liga Malaysia pada musim ini.

Bekas pemain kebangsaan itu terlepas aksi final Piala Malaysia 2019 setelah mengutip dua kad kuning pada aksi suku akhir dan separuh akhir.

Terdahulu, hampir 100 penyokong Kedah hadir pada sesi ramah mesra bersama pemain dan jurulatih skuad Lang Merah di kedai menjual peralatan bola sepak Football Republic di Pusat Beli Belah Sunway Pyramid di sini.- Bernama