Laksana konsep perniagaan patuhi syariah

Roslan Zainal
Roslan Zainal
A
A
A

KUANTAN - Usahawan dan peniaga kedai Muslim diminta agar meningkatkan kualiti perniagaan dan lebih mesra pelanggan seiring dengan kesedaran pengguna untuk menyokong produk dan kedai orang Islam.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar, Perumahan dan Kepenggunaan Pas Lipis, Roslan Zainal berkata, kebelakangan ini timbul kesedaran pengguna untuk membantu usahawan dan kedai umat Islam dalam mendepani sistem ekonomi yang sangat menekan kehidupan rakyat sekarang ini.

Menurutnya, usahawan dan peniaga perlu mengambil peluang tersebut dengan melaksanakan perniagaan mematuhi syariah sebagai resepi utama menarik sokongan pelanggan.

“Kesedaran umat Islam dalam perkara itu bukan diasaskan kepada sentimen perkauman, tetapi ia timbul atas kesedaran ukhuwah untuk membantu meningkatkan penguasaan ekonomi negara yang gagal dilakukan sepenuhnya sebelum ini.

“Kempen ini banyak memberi fokus kepada senarai dan kualiti produk serta kedai atau pasar raya muslim, jadi kualiti peniaga perlu diperbaiki untuk menarik pelanggan,” katanya.

Roslan berkata, ada peniaga tidak mengambil berat aspek tersebut sehingga timbul rasa tidak puas hati pelanggan terhadap sikap atau akhlak terutamanya pekedai atau pekerja kedai runcit yang tidak prihatin dalam etika melayani pelanggan.

“Akibatnya pelanggan lari dan ceritanya akan dijaja sehingga menjejaskan kedai berkenaan pada jangka waktu panjang.

“Pada masa sama, semua pihak digesa untuk menyumbang dalam membantu meningkatkan kualiti semua kedai dan perniagaan milik orang Islam agar bukan sahaja barangan yang diniagakan bersih dan halal malah sikap, layanan serta servis mereka juga mestilah patuhi syariah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, peniaga boleh jadikan patuh syariah sebagai tagline dalam perniagaan mereka untuk menarik pelanggan bukan sekadar atas perasaan ukhuwah dan simpati.

“Ini akan membantu peniaga untuk berdaya tahan dalam persaingan getir dunia perniagaan hari ini,” katanya.