X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Sindiket jual diesel: Dua lelaki cuba sogok polis RM25,000

PGA Sarawak merampas 800,000 liter diesel bernilai RM6.7 juta
A
A

MIRI - Dua lelaki yang ditahan kerana disyaki terlibat sindiket jualan diesel cuba 'menyuap' RM25,000 kepada pegawai kanan Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak dalam satu serbuan di Tebingan Sungai Miri, Jalan Krokop Utama semalam.

Kedua-dua lelaki itu cuba memberi rasuah kepada Ketua Pegawai Serbuan, Asisten Superintendan Norman Chendan Philip Richa supaya tindakan undang-undang tidak diambil ke atas mereka.

Mereka yang berusia 41 dan 43 tahun itu menawarkan wang sogokan sebanyak tiga kali walaupun sudah diberi amaran untuk menghentikan perbuatan tersebut tetapi tidak diendahkan.

Komander PGA Briged Sarawak, Senior Asisten Komisioner Datuk Khaw Kok Chin berkata, mereka antara lima lelaki tempatan berumur antara 37 dan 54 tahun yang ditahan ketika serbuan dilakukan pada jam 1 tengah hari.

"Kita merampas 800,000 liter diesel bernilai RM1.7 juta dan dua kapal bernilai RM5 juta dalam serbuan itu. Siasatan mendapati kedua-dua kapal tersebut tidak memiliki dokumen sah untuk menyimpan diesel bersubsidi.

“Sindiket ini dipercayai menjual diesel bersubsidi kepada nelayan Vietnam di kawasan perairan negara dalam kuantiti besar iaitu 500,000 liter setiap transaksi,” katanya.

Menurutnya, PGA yakin berjaya menumpaskan sindiket menjual diesel bersubsidi kepada sektor perladangan di Sibu, Bintulu dan Mukah.

"Ahli sindiket peroleh sumber bekalan diesel dari kapal-kapal nelayan tempatan yang mendapat diesel bersubsidi dan pembekal minyak bersubsidi.

"Rampasan diesel serta kapal akan diserahkan kepada pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di Miri untuk siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Kok Chin berkata, dua suspek yang menawarkan wang sogokan itu pula ditahan di bawah Seksyen 17 (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan diserahkan kepada SPRM Miri untuk tindakan lanjut. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!