[VIDEO] Lelaki pakai 'boxer' ditahan cuba curi motosikal

Suspek ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Foto ihsan pembaca
Suspek ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

KEMAMAN - [DIKEMASKINI] Cubaan seorang lelaki yang hanya memakai 'boxer' melarikan sebuah motosikal di hadapan sebuah bank di Bandar Chukai, di sini gagal selepas dia ditangkap dan diserahkan kepada polis petang semalam.

Lelaki yang berusia 20 tahun dari Kampung Paya Berenjut, di sini dikatakan cuba mencuri motosikal milik pengawal keselamatan yang bertugas di bank berhampiran kira-kira jam 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kehadiran suspek yang tidak berbaju dan hanya mengenakan 'boxer' di dalam bank tersebut mengundang rasa tidak selesa orang awam di kawasan itu.

"Susulan itu pengawal keselamatan bertugas meminta suspek keluar dan tidak mengganggu orang awam di dalam bank tersebut.

"Suspek kemudian keluar dan berjalan ke arah motosikal milik pengawal keselamatan itu dan cuba beredar dengan menunggang kenderaan itu.

"Terkejut melihat tindakan selamba suspek, pengawal keselamatan itu terus mendapatkan motosikalnya tetapi suspek berkeras memberitahu kenderaan itu adalah miliknya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hanyan berkata, bagaimanapun lelaki itu ditahan apabila orang ramai membantu sebelum diserahkan kepada unit kereta peronda (MPV).

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan tidak mempunyai sebarang rekod perubatan sakit mental.

Artikel Berkaitan:

“Suspek dipercayai melakukan tindakan itu kerana berada pengaruh dadah dan dia kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi satu minit 14 saat tular di Facebook menunjukkan seorang lelaki yang hanya memakai 'boxer' ditahan empat lelaki.