Basikal lajak: Boleh rakam gambar, video

Noor Halim (tengah) sedang membuat pemeriksaan terhadap salah seorang penunggang motosikal ketika Operasi Bersepadu Perayaan Deepavali di Jambatan Sultan Mahmud malam tadi.
Noor Halim (tengah) sedang membuat pemeriksaan terhadap salah seorang penunggang motosikal ketika Operasi Bersepadu Perayaan Deepavali di Jambatan Sultan Mahmud malam tadi.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis meminta orang ramai menyalurkan maklumat mengenai kegiatan basikal lajak supaya pihak berkuasa dapat melakukan pemantauan.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KPJKK) Terengganu, Asisten Komisioner Noor Halim Nordin berkata, saksi boleh mengambil video atau gambar dan menyalurkan maklumat itu kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Tindakan tegas akan diambil kepada pengguna basikal lajak yang didapati melakukan aksi berbahaya dan boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya lain.

"Mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN166/59) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000," katanya pada sidang media Operasi Bersepadu Perayaan Deepavali di Jambatan Sultan Mahmud di sini malam tadi.

Menurutnya, jika pesalah masih di bawah umur, ibu bapa boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mengabaikan penjagaan kanak-kanak dan boleh dikenakan denda sebanyak RM20,000 dan dipenjara tidak lebih 10 tahun.

"Bagaimanapun sehingga kini belum ada kes berkaitan basikal lajak (di Terengganu)," katanya.

Sementara itu, Noor Halim berkata, sebanyak 1,424 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya di negeri ini sejak operasi itu bersepadu itu dilancarkan pada 21 Oktober lalu dan berakhir semalam.

"Marang antara daerah tertinggi yang mencatatkan jumlah saman dikeluarkan iaitu sebanyak 507 membabitkan pelbagai kesalahan manakala Dungun mencatatkan sebanyak 341 saman, Kuala Terengganu (324), Besut (144), Setiu (77) dan Kemaman (31).

Artikel Berkaitan:

"Kita turut merekodkan sebanyak 21 tangkapan melibatkan kesalahan jenayah, 123 tangkapan kesalahan narkotik dan 6 tangkapan lain-lain kesalahan," katanya.

Katanya, selain itu polis melakukan sebanyak 1,528 rampasan termasuk 29 membabitkan kesalahan jenayah, 1,495 rampasan narkotik dan empat rampasan lain-lain kesalahan.