X

Kindly register in order to view this article
!

JKKP arah henti kerja jengkaut serta-merta

Pegawai JKKP Perak menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
A
A

IPOH - Penggunaan jengkaut di laluan kerja bahagian 'loading ramp' sebuah kilang sawit di Sitiawan diarah diberhentikan serta-merta susulan kematian seorang pekerja Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Ir Zamzurin Maarof berkata, arahan itu dikeluarkan selepas siasatan mendapati majikan gagal menyediakan prosedur kerja selamat dan penaksiran risiko bagi kerja-kerja penggunaan jengkaut.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa yang juga pekerja am warga tempatan berusia 25 tahun didapati menumpang jengkaut tersebut dengan berdiri di sebelah kiri pemandu.

"Satu notis larangan dan empat notis perbaikan telah dikeluarkan kepada pemilik premis.

"Tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab jika melanggar peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994," katanya.

Kejadian kira-kira jam 5.20 petang di Batu 11 Lekir itu mengakibatkan mangsa, Muhammad Akmal Salleh meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa menjalankan kerja-kerja pembinaan sebelum jentera berat dinaiki itu tergelincir dari cerun dan menyebabkannya tersepit pada bahagian bumbung jengkaut.

Pemandu jengkaut bagaimanapun terselamat selepas tercampak ke dalam longkang.

Zamzurin berkata, kejadian seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah dinyatakan melalui Garis Panduan Bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

"Majikan mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja. Mereka juga bertanggungjawab mengenalpasti bahaya di tempat kerja, membuat analisis risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti mereka," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus