KKM perhalusi cadangan dekriminalisasi penagih dadah

Dr Dzulkefly
Dr Dzulkefly
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) mengadakan beberapa siri perbincangan untuk memperhalusi cadangan dekriminalisasi (menyahjenayah) penagih dadah, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, perbincangan diadakan bertujuan mendapatkan input melibatkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Cadangan akan dibawa ke peringkat Kabinet setelah mendapat persetujuan semua pihak berkepentingan,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Laporan sebelum ini menyebut bahawa Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq, Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan akan mempercepatkan usaha dekriminalisasi penagih dadah menerusi penubuhan jawatankuasa khas sebagaimana arahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada mesyuarat Kabinet baru-baru ini.

Mengenai pewartaan kawasan larangan merokok Dr Dzulkefly mahu semua pihak memahami tujuan sebenar pewartaan itu bukan bertujuan diskriminasi terhadap golongan perokok sebaliknya untuk melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok terutama kepada mereka yang terdedah secara pasif.

Beliau berkata, pewartaan itu selaras Artikel 8 ‘World Health Organization Framework Convention on Tobacco Control’ yang menyebut bahawa sesebuah negara perlu memastikan perlindungan orang awam daripada bahaya asap rokok.

Mengulas mengenai vape dan rokok elektronik, beliau memaklumkan bahawa jawatankuasa khas diketuai Timbalannya, Dr Lee Boon Chye akan menjalankan kajian bagi mengenal pasti kandungan cecair rokok elektronik secara terperinci.

Menyentuh isu penempatan Pegawai Perubatan Siswazah (PPS), Dr Dzulkefly berkata, mulai 21 Oktober lepas PPS Gred UD41 (Kontrak) yang tamat latihan siswazah dan mendapat pendaftaran penuh akan ditempatkan semula di penempatan baharu untuk menjalani khidmat wajib tanpa menunggu urusan tawaran pelantikan tetap atau proses pelantikan semula kontrak selesai.

Artikel Berkaitan:

“Penempatan baharu ini akan dilaksanakan melalui Jawatankuasa Penempatan dan Pertukaran berdasarkan kepentingan perkhidmatan. Sekiranya pegawai dilantik tetap, penempatan pegawai akan diselaras semula berdasarkan kekosongan jawatan,” katanya.

Bagi yang tidak berjaya dilantik tetap beliau berkata, mereka akan diteruskan lantikan kontrak sehingga tamat khidmat wajib.

“Keputusan pelantikan tetap atau kontrak akan dimaklumkan dalam tempoh tiga bulan sebelum kontrak tamat,” katanya.

Persidangan Dewan Rakyat disambung Isnin. - Bernama