Pindahkan GLC bukan untuk kukuhkan kuasa PM: Amiruddin

Jabatan Perdana Menteri - Foto PMO
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah hari ini menyangkal dakwaan berhubung pemindahan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Kementerian Kewangan (MoF) kepada Jabatan Perdana Menteri bertujuan memperkukuh kuasa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas sektor korporat.

Beliau berkata, sebaliknya pemindahan itu merupakan sebahagian daripada penyusunan semula kerajaan untuk meningkatkan kecekapan sektor awam.

“Tidak timbul soal mempunyai lebih kuasa atau sedikit kuasa, langkah itu sebenarnya lebih kepada usaha untuk menjadikannya lebih cekap dan supaya rakyat akan memperolehi perkhidmatan terbaik yang boleh kerajaan berikan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan kempen Tahun Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2020 (MyHT2020) di sini.

Amiruddin berkata, mengikut penyusunan semula itu, beberapa kementerian digabungkan malah ada kementerian yang dibubarkan sebelum ini diwujudkan semula.

Beliau turut menolak dakwaan yang mengatakan pemindahan GLC itu telah mengurangkan kuasa MoF.

Menjelaskan perkara itu, beliau sebaliknya menekankan bahawa Kabinet berkhidmat sebagai satu pasukan di bawah perdana menteri.

“Apabila Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran kerajaan, perdana menteri telah membariskan semua menteri Kabinet dan setiap orang mempunyai tanggungjawab dan peranan yang mereka perlu laksanakan.

“Tidak timbul isu sama ada lebih kuasa atau kurang kuasa. Kita bercakap mengenai bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan, memandangkan Kabinet bekerja di bawah perdana menteri untuk memberi yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Sebuah portal berita semalam melaporkan Felow Kanan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Edmund Terence Gomez sebagai berkata, jumlah GLC di bawah Kementerian Kewangan mengecil secara ketara apabila sebahagian besarnya dipindahkan kepada Jabatan Perdana Menteri yang disifatkan sebagai penyusunan semula secara 'rahsia'.

Gomez juga mendakwa Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Pembangunan Usahawan juga diterajui oleh menteri sekutu Dr Mahathir dan penting dalam memastikan kuasa perdana menteri ke atas sektor korporat. - Bernama