21 pelajar Trenglish terima biasiswa Petronas

Juara keseluruhan program Mega Trenglish Camp 2019 bersorak riang bersama piala yang dimenangi. -Foto UPDI
Juara keseluruhan program Mega Trenglish Camp 2019 bersorak riang bersama piala yang dimenangi. -Foto UPDI
A
A
A

KUALA NERUS - Kejayaan 21 pelajar Terengganu di bawah Program TRENGLISH yang menerima biasiswa Petronas dalam tempoh dua tahun menunjukkan program itu memberikan impak yang besar kepada potensi pelajar.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Yahaya Ali berkata, Program TRENGLISH adalah inisiatif kerajaan negeri dalam meningkatkan kemahiran pelajar-pelajar Terengganu untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.

Menurutnya, program itu lebih berjaya dengan penglibatan syarikat multinasional negara, Petronas bersama agensi berkaitan seperti Yayasan Terengganu, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu.

“Saya dimaklumkan pada tahun 2018 seramai 8 pelajar di bawah Program TRENGLISH ini telah berjaya menerima biasiswa di bawah tajaan Petronas Education Sponsorship Programme (PESP).

“Manakala pada tahun 2019 seramai 13 pelajar di bawah program sama berjaya menerima biasiswa tajaan Petronas. Ini menunjukkan sebahagian daripada kejayaan pelajar-pelajar TRENGLISH.

“Kerajaan Terengganu percaya program TRENGLISH adalah satu inisiatif yang baik dan mengharapkannya diiktiraf oleh ramai pihak dan terus membantu pelajar-pelajar Terengganu dalam mempertingkatkan kemahiran berbahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Mega TRENGLISH Camp 2019 yang diadakan di TH Hotel & Convention Centre di sini hari yang turut dihadiri Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur, Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah.

Sehingga kini program TRENGLISH kini telah berkembang ke 40 buah sekolah menengah dan 10 buah sekolah rendah di seluruh Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam program berasingan di Marang, Wan Mohd Hasnan berkata, seramai 2,000 pelajar dari lebih 20 buah sekolah rendah terpilih di negeri ini bakal menerima kelengkapan sekolah untuk sesi akademik tahun depan di bawah program Back to School 2019 (BTS 2019) Yayasan Petronas.

Program BTS 2019 itu katanya, merupakan yang terbesar semenjak ia bermula 17 tahun lalu dan sumbangan itu akan disampaikan di beberapa lokasi berasingan di Batu Rakit, Rhu Rendang, Kemasik, Paka dan Bukit Tunggal.