Cubaan seludup minyak masak, tepung gandum gagal

Pikap yang digunakan untuk menyeludup barangan bersubsidi.
Pikap yang digunakan untuk menyeludup barangan bersubsidi.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Cubaan menyeludup kira-kira 1.8 tan minyak masak bersubsidi dan 910 kilogram tepung gandum ke negara jiran berjaya dipatahkan selepas sebuah kenderaan pikap yang sarat dengan muatan barangan itu ditahan semalam.

Kenderaan itu ditahan pada jam 9.45 malam selepas melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang menuju ke Thailand semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Adnan Abd Rahman berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan selama seminggu oleh anggotanya yang telah 'menghidu' perbuatan tersebut selain maklumat awam.

"Operasi berkenaan turut melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.

"Sejurus 'menghidu' aktiviti itu, KPDNHEP Kelantan bersama agensi penguatkuasa sempadan telah menahan pikap bernombor plat Thailand yang sedang menuju ke pintu masuk negara jiran," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas pikap berkenaan membawa kepada penemuan barangan kawalan iaitu minyak masak dan tepung gandum.

Cubaan menyeludup kira-kira 1.8 tan minyak masak bersubsidi dan 910 kilogram tepung gandum ke negara jiran berjaya dipatahkan.
Cubaan menyeludup kira-kira 1.8 tan minyak masak bersubsidi dan 910 kilogram tepung gandum ke negara jiran berjaya dipatahkan.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek menggunakan modus operandi dengan membuat belian barang-barang keperluan di sekitar Rantau Panjang dengan jumlah yang banyak.

Artikel Berkaitan:

"Suspek kemudian akan menyorokkan barang kawalan bersama barang keperluan lain di tengah-tengah muatan kenderaan," katanya.

Katanya, rampasan barangan kawalan itu membabitkan nilai RM50,000.

Adnan berkata, pemilik kenderaan itu yang merupakan warganegara Thailand turut ditahan bagi membantu siasatan.