Taiping terima dana UNDP RM1.1 juta: Wan Azizah

Dr Wan Azizah (dua, kiri) menyampaikan Sijil Penghargaan Rakan Strategi kepada Wakil Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Niels Knudsen (dua, kanan) selepas pelancaran Projek Rintis Age-Friendly City@Taiping di sebuah hotel hari ini. -Foto Bernama
Dr Wan Azizah (dua, kiri) menyampaikan Sijil Penghargaan Rakan Strategi kepada Wakil Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Niels Knudsen (dua, kanan) selepas pelancaran Projek Rintis Age-Friendly City@Taiping di sebuah hotel hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

TAIPING - Pembangunan Projek Rintis Bandar Mesra Usia di Taiping pertama di Malaysia akan menerima suntikan dana daripada tabung Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sebanyak RM1.1 juta disediakan khusus untuk memulakan kajian menyeluruh terhadap status semasa Taiping sebagai bandar mesra usia berpandukan kepada garis panduan antarabangsa yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurutnya, projek rintis tersebut akan dilaksanakan bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama Kerajaan Perak dan Majlis Perbandaran Taiping.

"Hasil daripada kajian ini akan digunakan untuk mendapatkan syor-syor dan membangunkan pelan tindakan yang disesuaikan mengikut keperluan tempatan seterusnya, Kerangka Menyeluruh Kebangsaan (National Comprehensive Framework) akan dibangunkan untuk diadaptasi di tempat-tempat lain.

"Saya berharap, hasrat kita untuk mewujudkan Age-Friendly City bermula di Taiping ini akan dapat direalisasikan dan lebih banyak suntikan dana akan

diperolehi untuk meneruskan projek rintis ini ke fasa seterusnya," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Projek Rintis Age-Friendly City @ Taiping di sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Pegawai Kewangan Negeri Perak, Datuk Abu Bakar Said mewakili Menteri Besar Perak; Wakil Timbalan Residen UNDP, Niels Knudsen; Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama, Mohamed Akmal Dahalan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Borhan Abdul Halim.

Wan Azizah berkata, pemilihan Taiping sebagai projek rintis ini dilaksana apabila Perak dijangka menjadi negeri tertua di Malaysia pada tahun 2020 apabila jumlah warga emas mencapai 385,000 orang atau 14.9 peratus daripada jumlah penduduk yang dianggarkan seramai 2.6 juta orang.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selain projek rintis itu, kerajaan turut merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha memastikan kesejahteraan warga emas, keluarga serta komuniti terpelihara sebagai persediaan ke arah menjadi negara tua pada 2030.

"KPWKM turut mengadakan kolaborasi strategik melalui platform Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara yang turut dianggotai oleh agensi-agensi kerajaan yang lain, wakil kerajaan negeri, wakil NGO dan ahli akademik untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan pemerkasaan warga emas.

"Selain daripada projek age-friendly city ini, KPWKM juga sedang dalam usaha mewujudkan satu model penjagaan jangka masa panjang atau Long Term Care (LTC) bagi warga emas yang mampan dan menyeluruh," katanya.

Sementara itu Wan Azizah berkata, projek rintis itu juga merupakan satu instrumen untuk menggabungkan peranan setiap individu dalam komuniti dan masyarakat setempat supaya persekitaran yang didiami bebas halangan dan selamat seterusnya mewujudkan sistem sokongan berkesan.

Projek rintis Bandar Mesra Usia di Taiping ini merupakan fasa pertama yang melibatkan proses perancangan pembangunan yang dijangka akan mengambil masa selama dua tahun sebelum diperluaskan ke seluruh negara dengan kerjasama kerajaan negeri berserta pihak berkuasa tempatan (PBT).