Peniaga dakwa dipukau, barang kemas RM6,000 lesap

Mohd Wazir Mohd Yusuf
Mohd Wazir Mohd Yusuf
A
A
A

KUANTAN - Seorang wanita mendakwa kerugian RM6,000 akibat dipukau dua lelaki tidak dikenali ketika berada di sebuah pasar tani di Maran, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa berusia 57 tahun itu membuka dan menyerahkan gelang emas yang dipakai kepada suspek sebelum barang kemas itu lesap dilarikan.

Ketua Jabatan Siasatan jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusuf berkata, mangsa yang juga seorang peniaga didatangi dua suspek termasuk seorang dipercayai warga Indonesia berdasarkan bahasa pertuturannya yang berpura-pura bertanyakan jalan ke kedai buku.

Menurutnya, salah seorang suspek kemudiannya menyerahkan batu berwarna kekuningan kepada mangsa sebagai pelaris perniagaan.

“Mangsa mendakwa, suspek mengikutnya sehingga ke dalam kereta sebelum menyuruh dia membuka gelang tangan yang dipakai dan memasukkan ke dalam beg tangan.

“Suspek kemudiannya meminta mangsa memasukkan barang kemas itu ke dalam satu sampul surat dan menyerahkan kepada mereka sebelum beredar,” katanya.

Mohd Wazir berkata, selepas suspek beredar, mangsa menyedari barang kemasnya telah dilarikan dan syak dia telah menjadi mangsa pukau.

“Susulan kejadian, mangsa membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel Berkaitan: