Cadangan wujud laluan khas motosikal dalam RMK12

Anthony Loke
Anthony Loke
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan untuk mewujudkan laluan khas khusus untuk motosikal adalah antara perkara yang akan dikemukakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, laluan khas itu akan diwujudkan di kawasan-kawasan yang berbahaya kepada motosikal serta daerah yang banyak terlibat dengan kemalangan jalan raya.

"Kementerian Pengangkutan bersama-sama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan JKJR menggalakkan supaya kita dapat ke arah di mana ada laluan khas untuk motosikal tetapi ia memakan perbelanjaan besar kalau nak diwujudkan satu laluan motosikal saja. Namun begitu cadangan tersebut akan dikemukakan dalam RMK12," katanya dalam sesi soal jawab lisan hari ini.

Anthony berkata, kementerian menggalakkan usaha ke arah penggunaan motosikal elektrik yang lebih rendah had laju namun belum ada dasar yang menghalang penggunaan motosikal kapcai memandangkan hampir 16 juta motosikal berdaftar adalah dalam kategori berkenaan.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS-Petra Jaya) tentang pendirian kementerian sama ada bercadang menggantikan penggunaan motosikal kapcai dengan kenderaan yang lebih selamat dalam usaha mengurangkan kes kemalangan maut.

Dalam perkembangan berkaitan, Anthony berkata, Laporan Perangkaan Kemalangan Jalan Raya PDRM menunjukkan golongan belia berumur antara 16 hingga 30 tahun adalah yang paling ramai terkorban dalam nahas jalan raya.

"Pada 2016 bilangan belia yang terkorban mencecah 2,818 orang dan bilangan ini menurun kepada 2,693 pada 2017. Pada 2018 bilangan belia yang terkorban adalah sebanyak 2,449 orang," katanya.

Katanya, daripada 2,693 kematian akibat nahas jalan raya yang melibatkan golongan belia pada 2017 sebanyak 72 peratus daripadanya maut ketika menunggang atau membonceng motosikal.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjawab soalan asal Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) berhubung data jumlah belia berusia 30 tahun ke bawah yang terkorban dalam kemalangan jalan raya antara 2016 hingga 2018 dan adakah kemalangan jalan raya merupakan sebab kematian utama golongan itu.

Bagi menangani masalah itu, katanya, Miros menjalankan program dan aktiviti bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya pengguna motosikal antaranya seperti program intervensi iaitu Program My Safe Road, Commuting Support Safety Programme (CSSP) dan Motorcycle Safety and Technology Symposium.

Kepada soalan tambahan Ahmad Fahmi mengenai perancangan kementerian khusus untuk belia yang terlibat dalam ekonomi gig iaitu perkhidmatan penghantaran makanan, katanya, Kementerian Pengangkutan merangka garis panduan untuk mengawal selia industri itu dan beliau akan membentangkan memorandum Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet pada minggu ini. - Bernama