Syabu RM1.5 juta dalam lantai Pajero

Dadah yang disorokkan pada ruangan rahsia di bahagian but Mitsubishi Pajero.
Dadah yang disorokkan pada ruangan rahsia di bahagian but Mitsubishi Pajero.
A
A
A

KOTA BHARU - Taktik seorang anggota sindiket penyeludupan dadah menyorok bungkusan teh mengandungi syabu bernilai RM1.5juta dalam ruangan rahsia pada lantai dan tempat duduk sebuah kenderaan pacuan empat roda digagalkan polis di tepi Jalan Bukit Bunga, Tanah Merah pada Sabtu lalu.

Lelaki tempatan berusia 44 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman serta Bahagian Siasatan Jenayah NarkotiK (BSJN) Tanah Merah pada jam 1.45 tengah hari.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, bertindak atas maklumat dan risikan polis menahan kenderaan jenis Mitsubishi Pajero dipandu suspek yang dipercayai memperoleh bekalan dadah dari negara jiran.

Syabu bernilai RM1.5juta dalam bungkusan teh dirampas polis bersama dengan penahanan seorang lelaki berusia 44 tahun dalam serbuan Sabtu lalu.
Syabu bernilai RM1.5juta dalam bungkusan teh dirampas polis bersama dengan penahanan seorang lelaki berusia 44 tahun dalam serbuan Sabtu lalu.

Menurutnya, pemeriksaan dalam kenderaan menjumpai dua ruangan khas iaitu pada lantai bahagian but dan bahagian bawah tempat duduk belakang di dalamnya berisi bungkusan teh bertulis Guanyinwang mengandungi dadah jenis syabu.

“Polis turut menemui pemutar skru yang digunakan untuk menutup dan membuka ruangan rahsia tersebut. Pemeriksaan lanjut dalam ruangan rahsia di lantai but belakang Pajero menemui 16 bungkusan teh mengandungi ketulan kristal dadah jenis syabu.

“Sejumlah 14 bungkusan lagi ditemui di ruangan rahsia pada bahagian belakang tempat duduk penumpang belakang. Kesemua 30 bungkusan tersebut mengandungi syabu seberat 30 kg (kilogram) bernilai RM1.5juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati suspek dipercayai anggota sindiket yang aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah jenis syabu sekitar Kelantan dan utara semenanjung Malaysia sejak dua bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

“Ujian saringan urin suspek yang berasal dari Kuala Balah, Jeli, negatif namun mempunyai dua rekod lampau membabitkan dadah serta judi.

“Suspek ditahan reman selama enam hari bermula 27 Oktober lalu sehingga 1 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Katanya, sabit kesalahan seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman mati mandatori.