X

Kindly register in order to view this article
!

KBS sokong atlet berpakaian patuh syariah: Syed Saddiq

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menggalakkan atlet negara untuk mengenakan pakaian patuh syariah ketika menyertai apa-apa pertandingan atau kejohanan namun pada masa sama tiada paksaan untuk mereka berbuat demikian, kata Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, soal pemakaian patuh syariah itu diserahkan kepada pendirian atlet dan persatuan untuk diputuskan dan KBS akan sentiasa menyokong apa sahaja pilihan mereka.

“Pendirian KBS ialah kita akan memberi galakan tanpa paksaan kepada mereka. Jika kita lihat soal prestasi, atlet dan persatuan lebih tahu apa yang terbaik untuk mereka.

“Sehubungan itu, kementerian akan sentiasa berdiskusi dengan mereka (mengenai pilihan pakaian), kerana kita yakin rakyat Malaysia akan tetap memberi sokongan pada atlet-atlet kita, tidak kira apa pun pilihan pakaian mereka," katanya pada sesi jawab lisan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (Pas-Setiu) yang meminta KBS menyatakan rancangan dan usaha memperkenal pakaian patuh syariah bagi semua aktiviti dan pertandingan sukan yang dianjurkan di peringkat domestik serta antarabangsa.

Pada masa sama Syed Saddiq memberi jaminan bahawa kementerian akan memastikan tidak berlaku sebarang diskriminasi terhadap atlet yang memakai pakaian patuh syariah apabila mereka menyertai pertandingan di peringkat domestik dan antarabangsa seperti yang berlaku di sesetengah negara.

"Kita tegas untuk mempertahan pendirian atlet yang memilih untuk memakai pakaian patuh syariah. Kita ambil contoh sebelum ini ada seorang atlet wanita antarabangsa yang didiskriminasi akibat memakai pakaian berhijab, kita jamin perkara ini tidak akan terjadi di Malaysia.

"Kita akan bawa ketetapan ini dan menyuarakan suara kita melalui International Olympic Committee (IOC)... perlu ada rundingan khusus dengan mereka sambil kita mengorak langkah demi masa depan sukan negara," katanya.

Beliau menjelaskan perkara itu ketika menjawab soalan tambahan daripada Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) yang ingin tahu sama ada atlet boleh memilih untuk tidak bertanding sekiranya mereka tidak dibenarkan memakai pakaian patuh syariah. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus