Klopp tidak pilih kasih

Jurgen Klopp
Jurgen Klopp
A
A
A
PEMAIN tengah Liverpool, Naby Keita mendedahkan Jurgen Klopp tidak mempunyai pemain kesayangan dalam pasukan itu seperti yang disangkakan ramai pihak.

Menurutnya, Klopp melayan semua pemain sama rata malah turut tidak pilih kasih walaupun mempunyai ramai pemain bintang seperti Mohamed Salah dan Sadio Mane dalam pasukan.

"Klopp tiada pemain emas dalam pasukan dan dia tidak pernah sebut sama ada Salah atau Mane istimewa di matanya. Dia berkomunikasi terbuka dengan semua pemain.

"Dia (Klopp) suka ketawa dan bergurau, malah mempunyai hubungan sangat baik dengan semua pemain," katanya.

Malah, Keita memberitahu, dia juga diberikan peluang diturunkan dalam perlawanan penting walaupun kerap mengalami kecederaan.

"Saya juga kerap diberikan peluang bermain walaupun sebelum ini kerap dibelenggu kecederaan. Ini membuktikan Klopp tidak pilih kasih.

"Mana-mana pemain yang menepati kehendak dan taktikalnya dalam sesuatu perlawanan, maka dia akan diturunkan. Tiada istilah seseorang pemain bintang itu wajib diturunkan," katanya.

Sementara itu, Keita mahu rakan sepasukannya tidak memandang rendah keupayaan Arsenal apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Piala Liga Inggeris di Anfield, awal pagi Khamis.

Katanya, walaupun lawan sedang berhadapan krisis dalam pasukan, namun The Gunners memiliki kemampuan untuk mengejutkan Liverpool jika pasukannya itu tidak berwaspada.
Artikel Berkaitan:


"Ia satu perlawanan yang sudah tentu sukar. Mereka mungkin menghadapi masalah dalam pasukan, namun ia bukan alasan untuk kami bermain sambil lewa," katanya.