Undang-undang bentuk tingkah laku

A
A
A

MINGGU ini negara kita kecoh dengan kemalangan langgar mati yang disebabkan oleh pemandu mabuk. Peruntukan undang-undang sedia ada mengenai langgar mati, iaitu Seksyen 43, Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ) yang membawa kepada hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan sebenarnya amat tidak memadai dalam menghukum pemandu yang tidak bertanggungjawab terbabit.

Begitu juga dengan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk yang hanya membawa kepada denda antara RM1,000 dan RM6,000 dan atau penjara tidak lebih 12 bulan di bawah peruntukan Seksyen 45A(1) APJ.

Ramai yang sudah mula menuntut agar peruntukan undang-undang jalan raya terutamanya memandu ketika mabuk diperketatkan oleh kerajaan.

Sebenarnya, selain daripada menuntut agar undang-undang sedia ada diperketatkan, kerajaan perlu memainkan peranan yang sangat penting dalam mendidik orang awam di negara ini untuk berdisiplin dan mematuhi undang-undang.

Undang-undang yang ketat dan dikuatkuasakan dengan sebaiknya akan membuatkan rakyat berdisiplin dan mengurangkan kadar jenayah di negara ini.

Ayuh kita lihat bagaimana Dubai mendidik penduduknya agar mematuhi undang-undang paling mudah di dunia iaitu larangan daripada melintas secara semberono (jaywalking).

Jika anda pernah ke Dubai, anda akan perasan bagaimana semua orang di Dubai (termasuk pelancong) akan mematuhi undang-undang jalan raya di sana. Biarpun hendak melintas satu jalan yang kecil, mereka akan menggunakan lintasan pejalan kaki atau menunggu sehingga lampu hijau untuk melintas. Mereka tidak berani hendak melintas sesuka hati.

Apa yang lebih menakjubkan, undang-undang di Dubai telah berjaya mendisiplinkan warga asing dari negara-negara yang kita tahu, rakyatnya amat kurang berdisiplin terutamanya bab undang-undang jalan raya seperti India, Indonesia, Filipina malah Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Populasi penduduk di Dubai adalah sekitar 3 juta orang. Daripada jumlah itu, sekitar 85 peratus adalah warga asing yang menetap dan bekerja di Dubai dan hanya sekitar 15 peratus sahaja orang tempatan. Daripada 85 peratus warga asing ini, majoriti besarnya datang dari India dan selebihnya Pakistan, Bangladesh, Filipina dan lain-lain.

Disiplin

Bayangkan, dengan jumlah warga asing yang sebegini ramai, Dubai masih mampu untuk mengawal kadar jenayah dengan begitu baik sekali melalui penguatkuasaan undang-undang yang ketat dan konsisten. Rakyat negara luar yang sudah biasa dengan perangai ambil mudah ketika di negara sendiri, kini begitu berdisiplin di Dubai. Tiada yang berani untuk membuat onar di Dubai.

Ketika di Dubai, amat jarang sekali untuk kita melihat polis meronda-ronda sekitar bandar untuk mengawal atau menjaga keamanan. Kerja polis di Dubai dibantu dengan pengawalan dan pemerhatian melalui kamera litar tertutup, lantas membuatkan mata polis berada di mana-mana.

Menurut rakan sekerja saya di Dubai, walaupun ada yang tertinggal beg duit di tepi jalan sekalipun, tidak akan ada yang berani untuk mengusiknya kerana takut dengan implikasi undang-undang. Itu menunjukkan bahawa Dubai begitu komited dalam menjaga keamaan dan kadar jenayah di negaranya.

Begitu juga dengan negara jiran kita, Singapura yang mengamalkan dasar mendisiplinkan rakyatnya melalui peruntukan dan penguatkuasaan undang-undang yang ketat. Namun, apa yang menjadi masalahnya adalah apabila rakyatnya masuk ke negara kita, mereka mula membuat onar kerana undang-undang dan penguatkuasaan di negara kita tidak sekuat dan seketat negara mereka.

Jika kita lihat pula ibu kota negara barat seperti Paris, jenayah di situ amat tinggi dan menakutkan. Masalah pencopet amat menggusarkan. Rata-rata jenayah yang berlaku di Paris seperti seluk saku, penipuan dan sebagainya dilakukan oleh warga asing yang datang ke Paris. Polis di Paris sudah seakan mati akal bagaimana hendak membanteras masalah ini. Saya sendiri pernah melalui pengalaman pahit itu ketika melawat Paris baru-baru ini.

Malaysia perlu kembali menyemak dan memperketatkan semua undang-undang jenayah sedia ada di negara ini. Namun, memperketatkan undang-undang semata-mata tanpa mempunyai penguatkuasaan yang baik tidak mencukupi.

Undang-undang yang ketat tanpa penguatkuasaan yang baik hanyalah seperti harimau yang tidak bertaring, mengaumnya kuat tetapi tidak memberikan apa-apa kesakitan kepada mangsanya.Semoga Malaysia akan kekal aman, damai dan sejahtera.