Ahli politik anti-Islam di Denmark dibaling mercun

Rasmus Paludan (kiri) ketika berkempen di Tingbbjerg bagi mendesak kerajaan mengharamkan kemasukan umat Islam ke Denmark.
Rasmus Paludan (kiri) ketika berkempen di Tingbbjerg bagi mendesak kerajaan mengharamkan kemasukan umat Islam ke Denmark.
A
A
A

COPENHAGEN - Seorang ahli politik anti-Islam di Denmark menerima padah apabila dibaling mercun ketika menyampaikan ucapan berbaur perkauman dan penuh provokasi di Tingbjerg, sebuah kawasan yang didiami komuniti imigran.

Susulan itu, pengasas parti berhaluan ekstrem, Rasmus Paludan terpaksa dilarikan polis ke kawasan selamat bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Sebelum kejadian, Paludan berucap selama 20 minit dengan pembesar suara menggesa pihak berkuasa mengharamkan Islam di Denmark selain mencadangkan agar semua pendatang dihantar semula ke negara asal.

Pemimpin Parti Starm Kurs atau Hard Line itu turut mendesak supaya kerakyatan Denmark bagi imigran bukan Eropah ditarik balik.

Dalam pada itu, polis Copenhagen dalam satu kenyataan berkata, pihaknya masih mengesan dalang yang mengganggu ucapan Paludan.

Pada April lalu, Paludan membangkitkan kemarahan komuniti Islam di Denmark apabila bertindak membaling kitab suci al-Quran ke udara semasa berkempen di Noerrebro.

Perbuatan keji itu mencetuskan protes ganas di sekitar Copenhagen apabila penunjuk perasaan yang berang bertindak membakar kenderaan dan tong sampah. - Agensi

Artikel Berkaitan: