Bot karam: PPM hadapi cabaran kesan enam lagi mangsa

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

LAHAD DATU - Hujan lebat dan laut bergelora antara cabaran ditempuhi pada hari kelima operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini berikutan enam lagi mangsa bot karam pada Khamis lepas masih belum ditemui, kata Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali.

Menurutnya, operasi sejak jam 6 pagi tadi meliputi radius pencarian sehingga ke perairan sempadan Filipina selain Lahad Datu dan Semporna dengan membabitkan lima aset serta 33 pegawai dan anggota PPM Lahad Datu serta Semporna.

"Laporan penemuan negatif... penemuan mayat atau serpihan bot setakat ini," katanya.

Mohamad Pajeri berkata, setakat ini tiada laporan daripada pihak berkuasa Filipina berhubung penemuan mayat atau mangsa.

Semalam, katanya, Philippine National Police Maritime Group (PNP MG) dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Sabah dihubungi untuk sama-sama melakukan operasi SAR.

Sebelum ini dilaporkan sembilan individu menaiki sebuah bot dari Sibutu, Filipina, bagaimanapun dipercayai karam dan seorang mangsa lelaki yang selamat ditemui di perairan Merabung, Tungku dekat sini pada Khamis lepas.

Selain itu, mayat seorang wanita dan seorang lelaki ditemui terapung masing-masing di perairan Bangingod, Tungku pada Jumaat dan perairan Pulau Mataking, semalam sekali gus menjadikan enam orang termasuk dua kanak-kanak masih hilang dan dikhuatiri lemas. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Bot karam: PPM hubungi Filipina hari ini laksana SAR bersama

Artikel Berkaitan: