Pas Pahang sokong cadangan buka kedutaan untuk Palestin

Laporan Sinar Harian pada 25 Oktober lalu.
Laporan Sinar Harian pada 25 Oktober lalu.
A
A
A

KUANTAN - Pas Pahang menyokong cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuka kedutaan untuk Palestin di Jordan sebagai langkah Malaysia menyalurkan bantuan berterusan kepada rakyat negara itu.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, beliau yakin keputusan itu akan menjadi pencetus kepada negara Islam yang lain untuk turut membuka kedutaan mereka bagi membela rakyat Palestin.

"Dunia menyaksikan ketidakadilan yang menimpa rakyat Palestin dan mereka sudah sekian lama menanggung sengsara kesan dari kekejaman rejim Israel.

"Ketidakadilan itu juga dilihat apabila bukan sahaja negara mereka diserang malah tanah mereka dirampas oleh Israel," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia buka kedutaan untuk Palestin: Tun M

Menurutnya, lebih sukar apabila negara kuasa besar dunia turut memberi bantuan kepada Israel supaya rakyat Palestin tidak dapat menuntut kembali hak mereka.

"Ribuan rakyat negara itu terkorban termasuk wanita dan kanak-kanak terkorban. Lebih mengecewakan apabila negara Islam hanya berpeluk tubuh menyaksikan kekejaman Israel dan penderitaan rakyat Palestin.

"Mereka seperti tidak berperanan langsung membantu rakyat Palestin malah ada yang menyokong ketika pelanggaran undang-undang antarabangsa dilakukan Israel," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Pas Pahang mengucapkan tahniah kepada perdana menteri di atas keberanian beliau dan berharap hasrat ini segera dilaksanakan.