PH tak terjejas dakwaan 'kerajaan pintu belakang'

Khalid (dua dari kanan) bermesra dengan seorang warga emas pada Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat di Kampung Pak Madah hari ini.
Khalid (dua dari kanan) bermesra dengan seorang warga emas pada Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat di Kampung Pak Madah hari ini.
A
A
A

MARANG - Masa depan Pakatan Harapan (PH) tidak akan terjejas terhadap cubaan pihak tertentu berhubung dakwaan untuk menubuhkan 'kerajaan pintu belakang'.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad yang menyifatkan Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober sebagai salah satu usaha ke arah itu, namun ia gagal menarik Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bersama-sama mereka.

Menurutnya, selepas usaha itu gagal, pihak terlibat kini menjadi batu api agar parti-parti dalam PH bertelagah melalui kenyataan sokongan terhadap Dr Mahathir oleh pemimpin Pas dan UMNO.

"Kita yakin pimpinan kita cukup memahami mainan mereka dan insya-ALLAH, kita akan terus bersama dan semua soalan mengenai transisi peralihan akan dibincangkan dan dipersetujui bersama.

"Kita tahu bila strategi kedua juga gagal, akan ada lagi strategi ketiga tapi apa strateginya kita tidak tahu.

"Mereka ini memanglah kerjanya untuk membuat konspirasi sahaja," katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat di Kampung Pak Madah hari ini.

Turut hadir, Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan timbalannya, Azan Ismail.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, sebagai pembangkang, mereka sepatutnya memikirkan kaedah untuk membantu kerajaan memastikan apa yang dijanji terlaksana, bukan menumpukan kepada isu politik yang tidak berkesudahan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau meminta PH Terengganu memantau penggunaan Wang Tunai Petroleum (WTP) atau royalti minyak yang diterima Terengganu berjumlah RM1.28 bilion bagi memastikan kebajikan rakyat dan pembangunan negeri tidak terabai.

Katanya, ia juga bertujuan memastikan peruntukan berkenaan digunakan secara profesional, selain meminta PH Terengganu melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis sekiranya mendapati berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa.

"Sekarang kerajaan Persekutuan sudah bagi duit royalti mereka, projek-projek kerajaan Persekutuan juga kita jalankan tanpa ada pilih kasih. Maksudnya, dengan duit royalti ini mereka boleh memenuhi kehendak rakyat dengan lebih baik," katanya.