Perak mahu bangun kawasan sempadan bersama

Zainal Azman (tiga dari kanan) melawat kaunter Pejabat Daerah dan Tanah Muallim ketika program berkenaan.
Zainal Azman (tiga dari kanan) melawat kaunter Pejabat Daerah dan Tanah Muallim ketika program berkenaan.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Kerajaan Perak mahu merancakkan pembangunan daerah-daerah yang berjiran dengan negeri-negeri lain melalui kerjasama pembangunan bersama.

Setiausaha Kerajaan Perak, Zainal Azman Abu Seman berkata, Perak mempunyai 12 daerah dan beberapa daerah bersempadan dengan negeri-negeri lain seperti daerah Hulu Perak yang berjiran dengan Kedah dan Kelantan, begitu juga dengan daerah Kerian yang bersempadan dengan Pulau Pinang dan Kedah.

Menurutnya, di sebelah selatan pula, daerah Bagan Datuk dan Muallim masing-masing bersempadan dengan daerah Sabak Bernam dan Hulu Selangor di Selangor.

"Menjadi hasrat kerajaan negeri bahawa konsep pembangunan bersama merupakan satu kaedah yang baik supaya daerah yang bersempadanan dengan negeri-negeri seperti Muallim dengan Hulu Selangor ataupun daerah-daerah lain dapat kita jalankan kerjasama dengan negeri-negeri terbabit untuk kita bangunkan bersama.

"Contohnya Tanjung Malim mempunyai Proton City dan hab pendidikan. Apa yang dihasratkan oleh kerajaan bahawa pembangunan bandar Muallim akan berkembang pesat tetapi kita lihat pembangunan di Ulu Bernam adalah rancak, jadi kedua-dua daerah dan negeri dapat berkongsi dan membangun secara bersama," katanya kepada media selepas merasmikan Program Pegawai Daerah dan Yang Dipertua Daerah Bersama Komuniti serta Pesta Pau 2019 di Balai Lintang Muallim, di sini, kelmarin.

Hadir sama pada majlis itu, Pegawai Daerah Muallim, Shamsul Ridzuan Idris; Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjung Malim, Faizal Nizam Md Nor; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak, Aminuddin Zulkifli dan Orang Besar Jajahan Muallim, Datuk Ir Safry Kamal Ahmad.

Sementara itu, Zainal Azman berkata, usaha pembangunan secara bersama di kawasan sempadan itu akan diperincikan lagi oleh kedua-dua negeri.

Menurutnya, menjadi hasrat kerajaan negeri supaya usaha gigih dapat dijalankan melalui kolaborasi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerjasama itu akan meliputi aspek perumahan dengan menyediakan peluang rakyat di negeri jiran untuk menetap di daerah yang berada di Perak.

Katanya, selain itu, Perak mahu merancakkan pelaburan baharu bukan sahaja dari segi perkilangan tetapi industri kecil dan sederhana serta memperkenalkan produk-produk pelancongan.

Jelas beliau, usaha membangunkan daerah itu mampu dimantapkan lagi melalui sokongan kerajaan Persekutuan.