Pembunuh bersiri Australia meninggal dunia

Milat ketika keluar dari hospital sebelum dibawa ke penjara Long Bay pada awal tahun ini. - Foto Diimex
Milat ketika keluar dari hospital sebelum dibawa ke penjara Long Bay pada awal tahun ini. - Foto Diimex
A
A
A

SYDNEY - Pembunuh bersiri paling kejam Australia, Ivan Milat yang membunuh tujuh pengembara muda pada sekitar tahun 1990-an dilaporkan meninggal dunia di hospital.

Milat menjalani hukuman penjara seumur hidup secara berturut-turut susulan siri pembunuhan yang berlaku berhampiran Sydney antara tahun 1989 dan 1992.

Menurut kenyataan jurucakap Pusat Pemulihan New South Wales, lelaki berusia 74 tahun itu meninggal dunia di Hospital Long Bay pada jam 4.07 pagi (waktu tempatan) hari ini.

Stesen penyiar ABC melaporkan, Milat didiagnos menghidap kanser perut dan usus pada Mei dan dimasukkan ke hospital sejak 11 Oktober lalu.

Tujuh individu yang sah menjadi mangsa Milat adalah warga Britain, Caroline Clarke, 21, dan Joanne Walters, 22; James Gibson dan Deborah Everist, kedua-duanya berusia 19 tahun dari Australia serta Simone Schmidl, 21; Anja Habschied, 20, dan Gabor Neugebauer, 21 dari Jerman.

Dalam setiap kes itu, Milat dikatakan menumpangkan mangsa sebelum menikam atau menembak mereka dan menanam mayat mangsanya di dalam hutan yang terletak di kawasan tanah tinggi New South Wales.

Milat ditahan pada 1994 susulan siasatan polis Australia berhubung penemuan beberapa mayat pada 1992 dan 1993.

Dia disabitkan dengan kesalahan membunuh pada 1996 selain penculikan seorang lagi pengembara yang berjaya melepaskan diri.

Artikel Berkaitan:

Milat juga merupakan suspek utama pembunuhan tiga wanita lain yang dilaporkan hilang di wilayah Hunter, 10 tahun sebelum siri pembunuhan berlaku.

Leanne Beth Goodall, Robyn Elizabeth Hickie dan Amanda Therese Robinson hilang pada tahun 1978 dan 1979, mayat kesemua mereka masih belum ditemukan sehingga ke hari ini.

Milat yang mengakui bekerja di kawasan terbabit pada penghujung 1970-an menafikan terlibat dalam tiga pembunuhan tersebut. - AFP