X

Kindly register in order to view this article
!

'Fokus kepada rakyat, bukan tukar kerajaan negeri'

Adly
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka yang dibentuk Pakatan Harapan (PH) akan terus menumpukan terhadap tanggungjawab melaksanakan amanah diberikan rakyat dan tidak perlu melayani desas-desus tentang menukar kerajaan negeri melalui ‘pintu belakang.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari yang juga Pengerusi PH Melaka berkata, beliau yakin kerjasama parti komponen PH di negeri itu kekal kukuh kerana masing-masing amat memahami amanah dipikul demi memberikan kehidupan lebih baik kepada rakyat.

Menurutnya, kerajaan Melaka menjadi sasaran 'desas-desus’ pertukaran kerajaan negeri melalui 'pintu belakang' itu adalah kerana kerajaan negeri dipimpin PH berjaya melaksanakan manifestonya pada pilihan raya umum lepas selain merealisasi pelbagai inisiatif berkesan untuk rakyat.

"Kalau kita lihat dalam sistem kerajaan kita, memanglah kita melalui sistem demokrasi dan bila kita jadi kerajaan, ada yang mahu ambil alih kerajaan tetapi bagi saya yang paling penting (ambil alih kerajaan) mengikut perlembagaan yang sedia ada selama ini.

"Perlu kita ikut demokrasi ini, kalau kita mahu jadi kerajaan, ikutlah demokrasi yang dipilih rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Bazar Peduli Rakyat Negeri Melaka di Bukit Baru di sini hari ini.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan dakwaan wujud usul untuk menggantikan kepemimpinan Adly melalui pembentukan kerajaan 'pintu belakang’ melalui kerjasama dua anggota exco kerajaan negeri yang tidak dinamakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketua Menteri Melaka nafi wujud 'kerajaan pintu belakang'

Bagaimanapun semalam, Bernama melaporkan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka daripada PH termasuk 10 Exco menyatakan sokongan kepada Adly sebagai Ketua Menteri Melaka dan menolak usaha memperlekeh mandat rakyat serta membelakangi prinsip demokrasi melalui pilihan raya.

Adly berkata, isu dimainkan pihak tertentu itu sememangnya menjadi cabaran, namun tidak sekali-kali mematah semangat atau mengganggu fokus PH Melaka yang kini sedang berusaha sedaya mungkin untuk memberi kehidupan lebih baik untuk rakyat dan dalam masa sama, membangunkan negeri ini.

"Semua pihak termasuk pembangkang perlu mainkan peranan bangunkan negeri serta negara ini, jadi prinsip bangunkan negara ini bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi pembangkang dan seluruh rakyat Malaysia," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!