Lang Merah hadir ke Kuantan untuk menang itu sahaja

Pemain-pemain Lang Merah giat menjalani latihan menjelang aksi menentang Pahang di Stadium Darulmakmur, malam ini. - Foto: Kedah FA
Pemain-pemain Lang Merah giat menjalani latihan menjelang aksi menentang Pahang di Stadium Darulmakmur, malam ini. - Foto: Kedah FA
A
A
A

PEMAIN Kedah tidak berada dalam tekanan sebaliknya fokus dengan misi meraih kemenangan pada separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Pahang di Stadium Darulmakmur malam ini.

Tonggak Lang Merah, Baddrol Bakhtiar berkata, beliau percaya pemain-pemain Kedah sudah bersedia fizikal dan mental berdepan para pemain dan penyokong Tok Gajah.

"Kita akui Pahang mempunyai rekod baik di Kuantan ditambah pula Stadium Darulmakmur bakal dipenuhi penyokong-penyokong Tok Gajah.

"Tapi itu bukan satu tekanan kepada kita kerana kami pernah berdepan situasi sebegini sebegini sebelum ini. Kami hadir ke Kuantan dengan misi untuk menang seterusnya mara ke final itu sahaja.

"Apa yang penting sekarang pemain-pemain Kedah kena memberikan sepenuh tumpuan di padang dan mengikuti setiap arahan daripada jurulatih sepanjang 90 minit perlawanan," katanya.

Mengulas kembalinya beberapa tonggak Tok Gajah yang cedera sebelum ini Baddrol berkata, pemain-pemain Kedah perlu melihat semua pemain-pemain Pahang sebagai ancaman termasuk tonggak berkualiti lawan seperti Dickson Nwakaeme dan Mohamadou Sumareh.

"Saya harap pemain-pemain Kedah khasnya bahagian pertahanan jangan leka sebaliknya mengambil pengajaran pada aksi di Alor Setar sebelum ini dan akan lebih bersedia 'mengikat' pemain-pemain Pahang malam esok (malam ini)," katanya.

Pada masa sama Baddrol berharap sokongan padu penyokong Hijau Kuning yang hadir di Kuantan malam ini akan membarakan lagi semangat pemain-pemain Lang Merah sepanjang 90 minit perlawanan berkenaan.

Artikel Berkaitan: