Empat lesen perniagaan dialibabakan dirampas

Anggota penguat kuasa MPKu sedang menyemak lesen perniagaan. (Gambar kecil: Adzman Mohd Taib)
Anggota penguat kuasa MPKu sedang menyemak lesen perniagaan. (Gambar kecil: Adzman Mohd Taib)
A
A
A

KULAI - Sebanyak empat lesen perniagaan yang didapati ‘dialibabakan’ kepada warga asing oleh pemilik tempatan dirampas menerusi operasi bersepadu dijalankan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), hari ini

Penolong Penguatkuasa MPKu, Adzman Mohd Taib berkata, tindakan berkenaan diambil untuk proses pembatalan selepas hasil pemeriksaan dilakukan terhadap 10 premis perniagaan di Jalan Bintang Utama, Taman Bintang Utama di Senai, di sini.

"Berdasarkan maklumat diterima terdapat empat lokasi dikenal pasti menjadi tumpuan warga asing menjalankan perniagaan termasuk Taman Senai Baru, Taman Bintang Utama, Taman Senai Jaya dan Perindustrian Murni Senai.

“Sebanyak 10 kedai terbabit dalam pemeriksaan lesen perniagaan dengan empat daripada lesen terbabit dirampas selepas didapati menyalahgunakan lesen di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana menyalahgunakan lesen," katanya.

Menurutnya, seramai 19 warga asing termasuk dua wanita dari lima negara iaitu Indonesia, Bangladesh, Pakistan, India dan Myanmar turut ditahan.

"Kebanyakan warga asing itu menggunakan alasan baru datang ke negara ini, namun mereka tetap ditahan kerana didapati tinggal lebih masa, salah guna pas dan tiada dokumen," katanya.

Adzman berkata, operasi berkenaan melibatkan kekuatan 20 anggota penguat kuasa MPKu dan 17 Jabatan Imigresen negeri itu dijalankan bagi menangani masalah kebanjiran warga asing yang berniaga tanpa lesen.

“Isu ini sering dibangkitkan dalam Mesyuarat Pelesenan dan Mesyuarat Jawatankuasa Daerah MPKu dan Ahli Majlis malah operasi ini turut disertai mereka.

Artikel Berkaitan:

"Kita semak lesen perniagaan selain mengenal pasti premis perniagaan itu dimiliki warga asing atau lesen terbabit dialibabakan warga tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Penolong Penguat Kuasa Imigresen negeri, Muhammad Hafiz Khamis berkata, kesemua warga asing yang ditahan akan dibawa ke lokap Imigresen Johor di Setia Tropika untuk siasatan lanjut.

“Mereka ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” katanya.