Ancaman kera, JPNIN bincang dengan Perhilitan

Pokok yang musnah diserang kera.
Pokok yang musnah diserang kera.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ancaman haiwan perosak antara kekangan terpaksa dihadapi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Hulu Terengganu dalam melaksanakan Projek Ekonomi KRT bawah kelolaan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu.

Sehubungan itu, Pejabat Perpaduan Daerah Hulu Terengganu akan mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi menangani masalah tersebut.

Pegawainya, Asronizam Mamat berkata, terbaharu projek tanaman nanas KRT Kampung Gunung, Kuala Berang seluas 0.4 hektar yang mula dilaksanakan November tahun lalu turut musnah akibat dirosakkan kera beberapa hari lalu.

“Daripada 13,700 pokok yang ditanam, dianggarkan 700 hingga 800 pokok musnah diserang kera. Projek ini dijangka mengeluarkan hasil dan boleh dituai tahun depan dan serangan ini menyebabkan kerugian kira-kira RM300.

“Walaupun nilai kerugian ini tidak banyak dan anak pokok masih kecil tetapi ia memberi kesan pada masa panjang bagi tumbesaran anak pokok tersebut,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Penduduk bergotong-royong memasang perangkap bagi mengatasi ancaman haiwan perosak.
Penduduk bergotong-royong memasang perangkap bagi mengatasi ancaman haiwan perosak.

Tanaman nanas oleh KRT Kampung Gunung dilaksanakan di bawah pelaksanaan program Projek Ekonomi KRT dengan pemantauan Pejabat Perpaduan Daerah serta mendapat khidmat nasihat daripada Lembaga Nanas Negeri Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Ia diusahakan oleh 30 peserta terdiri daripada ahli jawatankuasa KRT, belia dan suri rumah.

Asronizam berkata, KRT Kampung Gunung telah mengambil inisiatif seperti memasang pagar elektrik dan perangkap, namun setakat ini, ia belum berkesan dan bercadang menggunakan pukat hitam.

Katanya, ancaman haiwan perosak seperti kera dan babi sering berlaku kepada penduduk setempat yang mengusahakan tanaman persendirian.

“KRT Felda Jerangau Barat ada mengusahakan projek tanaman pisang dan masih belum mengeluarkan hasil. Kita jangka projek ini mungkin akan turut berdepan masalah sama, jadi kita akan minta nasihat Perhilitan,” katanya.

Hulu Terengganu mempunyai 48 KRT dan daripada jumlah itu, dua KRT melaksanakan projek ekonomi dengan satu lagi KRT dijangka mengusahakan projek sama tahun depan.