Polis rampas rokok, arak disyaki tidak bercukai

Sebahagian arak dan rokok yang dirampas dalam serbuan itu.
Sebahagian arak dan rokok yang dirampas dalam serbuan itu.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Polis merampas 101,158 kotak rokok dan 24 kotak arak tidak sah dalam serbuan di lima lokasi berasingan sekitar negeri ini pada 17 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, rampasan bernilai kira-kira RM623,000 dilakukan pasukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka yang membuat serbuan di tiga premis kedai dan dua rumah.

Menurutnya, dalam serbuan itu polis turut menahan empat lelaki warga tempatan berusia lingkungan 39 hingga 72 tahun untuk siasatan lanjut.

"Lokasi yang diserbu termasuk Taman Krubong Jaya dan Taman Cheng Perdana, manakala tiga lagi di kedai iaitu di Taman Murai Jaya, Durian Tunggal Taman Teknologi Cheng dan Rim Jasin.

"Polis merampas rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai dan menggunakan setem duti palsu serta minuman keras tanpa lesen," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang tanpa kelulusan daripada Jabatan Kastam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi IPK Melaka di talian 06-2854222 atau Hotline di talian 06-2851 999/ SMS Polis Melaka di 012-2244999.

Artikel Berkaitan: