Isteri, anak perlu pembelaan selepas perceraian

Munirah Abdul Hamid
Munirah Abdul Hamid
A
A
A

SHAH ALAM - Hak isteri dan anak-anak perlu dipelihara untuk memastikan kehidupan mereka terjamin selepas berlaku perceraian.

Presiden Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi), Datuk Munirah Abdul Hamid berkata, jika tiada cara lain untuk menjamin kebaikan buat isteri dan anak-anak maka undang-undang yang lebih tegas perlu dilaksanakan.

"Dalam kehidupan berumah tangga, suami isteri perlu mengetahui tanggungjawab masing-masing.

"Jika tiada cara lain dalam pemberian nafkah kepada isteri dan anak, pelaksanaan undang-undang adalah yang terbaik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Semalam, media melaporkan kerajaan akan mengadakan rundingan dengan beberapa pihak berkepentingan termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memastikan perintah Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadanah dan Nafkah dapat dikuat kuasa dengan sempurna.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, ia bagi memastikan bekas suami melaksanakan perintah atau keputusan mahkamah untuk memberikan nafkah kepada anak dan bekas isteri dengan baik.

Katanya, jawatankuasa khas sudah ditubuhkan dan beberapa perbincangan diadakan bersama kementerian lain dan BNM serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

ARTIKEL BERKAITAN: Beku harta suami ingkar arahan mahkamah syariah: Mujahid

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Munirah menyatakan perasaan kasihan terhadap nasib isteri dan anak yang ditinggalkan jika undang-undang tersebut tidak dilaksanakan.

"Mereka perlukan pembelaan. Ini kerana sebelum berpisah ramai dalam kalangan isteri yang tidak bekerja kerana diminta oleh suami untuk menjaga anak-anak di rumah.

"Jadi nasib isteri perlu dititikberatkan memandangkan mereka telah lama meninggalkan alam pekerjaan," katanya.

Justeru, beliau menegaskan suami perlu bertanggungjawab dengan tidak hanya membebankan isteri membesarkan anak-anak mereka sendirian.