Mayat bayi ditemui dalam tong sampah

Polis mengeluarkan mayat bayi perempuan yang ditemui dalam tong sampah di Bandar Baru Nilai hari ini.
Polis mengeluarkan mayat bayi perempuan yang ditemui dalam tong sampah di Bandar Baru Nilai hari ini.
A
A
A

NILAI - Mayat seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui dalam tong sampah di sekitar Bandar Baru Nilai di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Azrul Hisham Mohd Shaffie berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam melalui panggilan Mers 999 kira-kira jam 8.40 pagi dan sampai ke lokasi 25 minit kemudian.

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian menjumpai mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat dibungkus dengan selimut dalam tong sampah di tepi jalan 1/2K Bandar Baru Nilai.

"Siasatan awal di tempat kejadian telah dilakukan namun tiada sebarang petunjuk dan maklumat berkenaan ibu bayi yang terlibat.

"Setakat ini hanya dua orang saksi iaitu pekerja pembersih sampah yang merupakan individu pertama menjumpai mayat bayi tersebut telah pun diambil keterangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azrul berkata, mayat dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban untuk dibedah siasat jam 9.30 pagi, esok.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh membuat laporan di mana-mana balai polis berdekatan.

Artikel Berkaitan: